KUMPULAN popular Indonesia, Juicy Luicy memasang impian untuk bekerjasama dengan dua penyanyi popular Malaysia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid.
Juicy Luicy yang dianggotai Julian Kaisar (vokalis), Denis Ligia (gitar elektrik), Zamzam Y.M (saxophone, gitar akustik), Dwi Nugroho (drum), dan Bina Bagja (bass) berharap impian tersebut menjadi realiti selain sangat mengagumi kehebatan vokal dimiliki dua penyanyi ternama itu.
Sekiranya satu hari nanti diberi kesempatan, kami ada impian untuk bekerjasama dengan Sheila Majid dan Siti Nurhaliza.
“Siti sudah menjadi idola sejak dulu dan lagunya yang paling kami minati ialah Aku Cinta Padamu,” kata Julian pada sidang media virtual sempena konsert Ruang Inspirasi Festival (RIF).
Berkongsi mengenai lagu-lagu hit mereka yang mencapai ratusan juta penstriman, Uan berkata mereka tidak mempunyai sebarang formula khusus.
Mereka bagaimanapun menikmati proses menulis lagu dengan sepenuh hati.
“Tular atau tidak, bukan di bawah kawalan kami. Kami bahkan tidak pernah mengejar jumlah pendengar atau meletakkan harapan tinggi.
Ketika lagu Sialan tular, kami juga terkejut kerana lagu tersebut sudah diterbitkan setahun sebelum menjadi siulan ramai.
“Paling penting keseronokan sepanjang proses menghasilkan sesuatu lagu. Jika viral, itu sudah dianggap bonus,” ujarnya.
Pada acara tersebut, Juicy Luicy bakal mendendangkan lebih 10 buah lagu hit mereka termasuk buah tangan terbaharu, Malapetaka.
“Selain itu, kami bakal membawakan susunan muzik yang berbeza dan intro baru khas untuk konsert kali ini,” kata Uan lagi.
Konsert RIF turut menampilkan penyanyi popular, Tulus pada segmen pertama manakala Juicy Luicy di segmen kedua.
RIF yang dijadual berlangsung pada 17 Ogos depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. – HIBGLAM