‘Guna lagu kerana suka, bukan sampaikan mesej tersembunyi’

ISTERI muda disangka memuat naik hantaran petanda galau, pempengaruh Ahmad Aslam menganggap itu sekadar perkongsian biasa Marissa Dania di laman sosial yang berkemungkinan menjemput salah faham netizen.

Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 25, berkata, dia tiada kuasa untuk menghalang hal rumah tangga dengan kedua-dua suri hati termasuk isteri pertama, Umisya Mazlan diperkatakan dan dijadikan spekulasi hanya bersandarkan konten Instagram.

“Kita tak boleh halang tanggapan netizen, tapi semuanya juga bergantung kepada diri kita sendiri. Jika boleh elak daripada salah tafsir orang luar.

Seperti perkongsian dibuat Marissa yang menggunakan latar lagu. Ada pihak salah anggap. Lagu pun ada banyak (jenis), lirik juga macam-macam. Ada yang maksudnya kita sendiri susah faham.

“Mungkin seseorang guna lagu itu kerana suka, bukan mahu menyampaikan sesuatu mesej tersembunyi. Semua ini sangat subjektif,” katanya ketika ditemui pada majlis Wawa Global Kosmetik New Chapter, semalam.

Aslam berkata demikian mengulas hantaran dikongsikan Marissa yang berlatarkan lagu nyanyian penyanyi Indonesia, Shabrina Leanor, Pendampingmu mengenai insan kesayangan dan nilai cinta.

Pada masa sama, Aslam yang dipilih sebagai wajah kempen krim pelindung matahari keluaran Wawa Cosmetics bersama isteri pertamanya mengakui sentiasa menasihatkan kedua-dua teman hidupnya sebelum berkongsi konten kepada khalayak.

Namun, dia mendedahkan enggan memberikan sebarang tekanan berkaitan hantaran dibuat mereka kerana yakin masing-masing bijak memilih pertimbangan terbaik.

Memang saya selalu menasihati dan memberi teguran terutama apabila mereka memuat naik hantaran yang menjadi buah mulut orang walaupun hakikatnya kandungan tersebut bukan bermaksud apa-apa.

“Cuma tidaklah saya tapiskan apa yang boleh dan tidak. Saya hanya serahkan kepada mereka untuk menilai dan membuat keputusan sendiri. Itu lebih baik,” ujarnya.

Sebelum ini, perkongsian Marissa juga anak kepada pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim mencetuskan polemik kerana seolah-olah mendedahkan situasinya hidup berkongsi kasih sejak dua tahun lalu.

Terdahulu, Marissa dan Aslam berkahwin di Thailand ketika Umisya yang mempunyai tiga anak dengan lelaki itu mengerjakan umrah sehingga mencetuskan kegemparan.

Walaupun kini Aslam dilihat mampu mengendalikan bahtera rumah tangga selepas kedua-dua isteri tampak menerima takdir berpoligami, kehidupan mereka masih di bawah radar netizen. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok