BERPEGANG teguh dengan pendirian tidak mengambil sesen pun, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq mengakui kesemua hasil pendapatan sebagai model mahupun wajah kempen diserahkan 100 peratus untuk kebajikan penduduk di kawasannya.
Syed Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 32, berkata, setiap tawaran diperincikan dengan teliti terutama berkaitan kontrak membabitkan kolaborasi mana-mana pihak.
Setiap satu sen diperoleh menerusi kontrak yang saya setuju sertai akan disalurkan sepenuhnya untuk kebajikan masyarakat di Parlimen Muar.
“Apa pun,saya memang lakukan perkara ini dengan niat jelas iaitu demi kebajikan. Itu adalah fokus utama saya,” katanya selepas pelancaran produk baharu Wawa Global Kosmetik New Chapter, hari ini.
Begitupun, katanya sekiranya kontrak atau perjanjian terbabit diperoleh melalui agensi, ada beberapa proses perlu dilalui.
“Bukan berapa peratus (disalurkan), tetapi 100 peratus. Apa yang saya buat, selalunya saya akan perincikan semua perjanjian (sebelum bersetuju).
Cuma kadang-kadang, saya beri contoh ada satu jenama yang tidak membenarkan perkara ini (beri 100 peratus ke Muar) kerana melalui agensi.
“Mereka kata tak boleh umumkan tetapi (jika) mereka setuju, kita maklumkan jenis bantuan yang boleh disampaikan (ke kawasan saya),” ujarnya.
Mengakui diajukan pelbagai tawaran daripada banyak syarikat, ahli politik terbabit tetap menapis permintaan malah pernah menolak tawaran yang dirasakan tidak bersesuaian.
“Ada (tawaran) yang ditolak. Banyak sebenarnya kerana kita perlu ambil kira soal kesesuaian dalam pelbagai sudut.
Dalam hal ini, saya boleh kongsikan bahawa sesetengah jenama sesuai dengan identiti rakyat Malaysia seperti produk pelindung matahari.
“Ini jenama yang saya rasa berpatutan dan produknya juga mudah untuk saya pasarkan, lebih-lebih lagi kerana saya sendiri seorang yang suka bersukan dan perlukan pelindungan,” ujarnya mengenai produk keluaran Wawa Cosmetics.
Menurut Syed Saddiq lagi, soal kualiti juga menjadi antara faktor untuk dipertimbangkan sebelum bersetuju mewakili sesuatu jenama walaupun ditawarkan dengan nilai lumayan.
“Banyak juga tawaran seperti itu yang saya tolak atas sebab kurang kualiti. Saya percaya kita semua kena menjaga imej masing-masing.
Saya sendiri seorang penggubal dasar. Maka, sebagai penggubal dasar, keutamaan dari segi kualiti perlu diberikan kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu,” katanya.
Pada Mac lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyumbangkan keseluruhan RM1.36 juta hasil titik peluhny sebagai model sebuah syarikat fesyen dan bergandingan dengan pelakon Bella Astillah kepada penduduk Muar.
Beliau berbuat demikian selepas memaklumkan peruntukkan ke kawasannya itu lambat diperoleh.
Syed Saddiq menjadi rebutan pelbagai jenama serta syarikat berikutan popularitinya yang melonjak selepas digandingkan dengan Bella dalam kempen promosi baju raya. – HIBGLAM