‘Lelaki contoh’ – Remy Ishak jaga anak, tolong isteri mengemas

RINGAN tulang, pelakon Datuk Remy Ishak mengakui selesa membantu isteri menguruskan anak tunggal mereka andai tidak terikat dengan komitmen kerja.

Remy atau nama lengkapnya Datuk Mohammad Zalimei Ishak, 43, berkata dia jenis lelaki yang tidak boleh duduk diam apabila berada di rumah sekali gus tugas tersebut bukan satu beban buat dirinya.

“Percaya atau tak, kalau saya cakap saya tak suka sangat berehat. Apabila tiada ‘shooting’, saya tak suka goyang kaki.

“Kalau di rumah, saya ambil alih tugas isteri (kemas rumah), jaga anak untuk ringankan beban,” katanya dalam hantaran di aplikasi TikTok.

Menerusi hantaran tersebut, pelakon filem Soloz: Game of Life itu turut memaparkan video pendek dirinya memandikan dan menyiapkan permata hati, Tuah Alam.

Malah Remy turut berkongsi aktiviti harian termasuk mengemas dan beriadah selain menghantar si kecil di pusat jagaan sementara dia bersenam.

Bahkan, sikap prihatin ketua keluarga itu terhadap insan tercinta terserlah apabila terus mengambil anak dan isteri, Datin Ezza Yusof selepas menyelesaikan urusannya.

Remy berkata, perkara yang dilakukan buat keluarga kecilnya bukan dipaksa, sebaliknya adalah atas keikhlasan sendiri.

“Isteri tak pernah paksa atau suruh pun. Tapi saya anggap itu memang tanggungjawab saya.

Lagipun saya jenis yang tak reti duduk diam,” ujarnya.

Rata-rata pengikut laman sosialnya memuji sikap aktor tersohor itu yang disifatkan sebagai suami dan bapa mithali sekali gus menjadi contoh kepada ketua keluarga lain.

“Lelaki contoh. Moga jadi ikutan semua suami di Malaysia,” kata netizen.

“Lelaki kacak rajin tolong isteri, yang kurang kacak pula pemalas,” seloroh seorang lagi peminat.

Terdahulu, Remy mendirikan rumah tangga dengan Ezza pada 21 Ogos 2021 dan dikurniakan Alam Tuah yang kini berusia dua tahun. –  HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok