‘Bukan salah Nelydia, dia panik, perlukan pertolongan’

MENGAKUI khilaf, pelakon Hariz Hamdan tampil memohon maaf selepas tular video yang memaparkan dirinya dipeluk aktres Nelydia Senrose ketika menaiki kereta kabel di Pulau Langkawi baru-baru ini.

Ujar Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 23, video tersebut dimuat naik atas niat peribadi sebagai kenangan bersama rakan-rakan serta bertujuan mempromosikan drama terbaharu lakonannya dan bukanlah sengaja untuk mencetuskan sebarang kontroversi.

“Dalam hal ini saya tak salahkan sesiapa. Tapi saya nak minta maaf kalau video yang saya muat naik itu menimbulkan rasa kurang senang.

“Saya tak berniat nak cipta apa-apa isu. Video tu hanyalah kenangan saya bersama kawan-kawan dan pada masa sama untuk promosi drama baharu saya.

“Bukannya saya fikir masa tu, oh dia isteri orang jadi nanti orang kecam. Saya betul-betul tak jangka video itu akan jadi isu besar,” katanya.

Menjawab persoalan mengenai tindakan Nelydia, 30, yang disifatkan keterlaluan memandangkan dirinya berstatus isteri orang, pelakon drama Bunga Salju itu menjelaskan momen tersebut berlaku secara spontan kerana aktres terbabit berada dalam keadaan panik.

“Mungkin masa tu dia panik dan alami anxiety, jadi dia bertindak luar kawalan. Saya tak salahkan dia langsung, sebab kalau kita panik, kita pun tak tahu macam mana reaksi kita.

“Saya sebagai adik kepada Nely cuba tenangkan dia sebaik mungkin. Mungkin pada saat itu dia sangat perlukan pertolongan, jadi saya cuba hadir sebagai penyokong,” jelasnya.

Terdahulu, Nelydia, yang juga isteri kepada ahli perniagaan Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, menjadi perhatian ramai selepas video berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan netizen. –  HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok