Kahwin nak bahagia atau mewah? Siti Elizad pilih ketenangan

Tak mungkin tiba-tiba saya kena ubah hidup jadi orang lain.”

Itu penegasan pelakon Siti Elizad yang menepis dakwaan kononnya suaminya, Shamsul Baharin Rahman tidak mampu memberikan kemewahan harta benda kepadanya seperti yang dinikmati selebriti wanita lain.

Elizad atau nama penuhnya, Siti Elizad Sharifuddin, 40, menegaskan tidak pernah mendambakan kemewahan sebaliknya lebih menghargai ketenangan dan kebahagiaan bersama suami sejak awal perkahwinan.

“Sebenarnya kalau bercakap fasal suami, saya sangat menghormatinya, mengagumi dan menyanjungi dia. Tiga ini saya praktikkan dalam diri sebab masa awal kahwin kami bermula dari bawah.

Sekarang ini suami diberi kelebihan dari segi rezeki lebih, tidak mungkin tiba-tiba saya kena tukar pakai barang mahal sedangkan masa awal kahwin kita gembira duduk hotel murah.

“Kenapa nak ubah jadi orang lain? Saya rasa tidak mahu hidup dalam keadaan kena tipu orang di luar sana,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi lanjut, pelakon drama Restu itu turut menasihati golongan isteri untuk tidak mendesak membelikan barangan berjenama semata-mata mahu mengikut trend media sosial.

“Kita perempuan memang nampak orang muat naik (dalam media sosial) beg tangan, kita pun nak. Jangan buat begitu, kasihan suami.

Bagi saya bukan dia tak boleh bawa (ke hotel mewah), dia boleh tapi saya tak pilih jalan itu sebab kita bawa motor, duduk tengah panas dan tidur hotel biasa pun dah seronok.

“Bila kahwin orang kata nak kebahagiaan tapi saya lain, saya mahukan ketenangan. Itu apa yang suami saya didik,” ujarnya.

Ditanya mengenai respons suami yang didakwa tak memberi kemewahan, Elizad mengakui Shamsul merupakan individu yang sangat tenang. Lebih hebat, sepanjang lebih 10 tahun usia perkahwinan tidak sekali pun mereka bergaduh.

Orang yang mengenali abang (panggilan untuk suami), dia sangat tenang. Jujurnya saya tak pernah bergaduh walaupun dah kahwin nak masuk 11 tahun sebab saya dapat suami yang pendiam.

“Allah bagi karakter dan sikap dia baik pun saya bersyukur, kenapa nak minta lebih di luar benda yang dia tak boleh buat? Sebenarnya kalau kita bersyukur, tak ada benda kita nak bergaduh, kena rasa erti cukup.

“Erti cukup bagi saya bukan dari segi gaji walaupun pendapatan saya lebih besar dari suami. Tapi gaji saya datangnya daripada reda seorang suami, kerana dia saya ada gaji besar,” ujarnya yang ditemui semasa Superstar Tour Anugerah Melodi Terhangat ke Johor Bahru.

Terdahulu, gara-gara tidak bergaya mewah, ada dakwaan menuduh Syamsul tidak mampu memberikan kemewahan kepada pelakon Berlari Ke Langit itu. Pasangan yang belum mempunyai zuriat itu sebaliknya bahagia dalam acuan sendiri dan gemar menghabiskan waktu bersama melakukan aktiviti menunggang motosikal berkuasa besar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok