Emosi jelmaan Glenn Fredly yang luar biasa

Menyentuh jiwa! Itu yang terjadi sewaktu Konsert Tribute To Glenn Fredly Holographic Performance yang berlangsung semalam di Zepp Kuala Lumpur tatkala isteri mendiang, Mutia Ayu muncul di atas pentas bersama anak perempuan mereka, Gewa.

Mutia membuat persembahan menyampaikan lagu Itu Saja yang merupakan lagu ciptaan istimewa Dari Glenn sempena ulang tahun pernikahan mereka yang pertama.

Melihat keluarga kecil ini ‘bersatu’ di atas pentas membuatkan jiwa penonton terusik sehingga mata ‘berkaca’ gara-gara menahan sebak.

“Malam ini sangat luar biasa kerana saya dapat menyanyi di hadapan anda semua di sini bersama anak saya. Saya mahu ucapkan ribuan terima kasih buat semua yang telah hadir di konsert ini.

“Lagu itu dirilis pada ulang tahun pertama perkahwinan kami iaitu pada 19 Ogos 2021. Ketika itu Glenn sudah tiada lagi di dunia ini meninggalkan saya dan Gewa.

Ini adalah lagu pertama yang saya dan Glenn berduet. Semoga anda semua suka dengan lagu tersebut,” katanya yang sebak sewaktu menyampaikan ucapan.

Antara penyanyi lain yang terlibat dalam konsert ini ialah Bella Astillah, Noh Salleh, Nadira Adnan, Rian D’Masiv, The Bakuucakar dan Allan Anderson.

Selain berduet bersama Mutia, Glenn turut berduet secara hologram bersama Bella Astillah menerusi lagu Cinta Dan Rahasia.

Selebihnya Glenn menghiburkan penonton secara hologram dengan rangkaian lagu solonya seperti Januari, Sedih Yang Tak Berujung, Timur, Rame Rame dan Kasih Putih.

Glenn meninggal dunia pada tanggal 8 April 2020 di Hospital Setia Mitra Fatmawi, Jakarta akibat mengalami meningitis iaitu radang otak dan saraf tunjang. Ketika dia meninggal dunia, anaknya baru berusia dua bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok