MENGGABUNGKAN kekuatan dua negara serumpun, My Stupid Boss: The Animated Series menghidupkan semula watak ikonik Bossman dalam bentuk animasi yang lebih bebas dan menggelikan hati.
Menampilkan Reza Rahadian dan Bunga Citra Lestari bersama barisan pelakon terkenal Malaysia dalam adaptasi daripada blog yang telah berevolusi menjadi buku, filem dan kini animasi. My Stupid Boss versi terkini hadir dengan 13 episod eksklusif menerusi aplikasi Vidio bermula 12 Julai lalu.
Menjadi antara bintang wajib naskhah berkenaan, pelakon Bront Palarae atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, melihat penghasilan siri animasi My Stupid Boss sebagai langkah permulaan yang signifikan dalam merancakkan perkembangan animasi serantau.
“Ini boleh dianggap sebagai ‘percikan awal’ kepada reformasi dan perkembangan animasi di Malaysia dan Indonesia.
Sangat menarik untuk melihat bagaimana hasil air tangan tempatan diterjemahkan dalam bentuk animasi yang segar dan berani.
“Animasi membuka ruang tanpa batasan, membolehkan kami bebas mencuba idea, emosi dan jalan cerita yang sukar dilakukan dalam bentuk biasa,” katanya yang membawakan watak Adrian dalam naskhah animasi berkenaan.

BRONT berkata penghasilan siri animasi My Stupid Boss merupakan langkah permulaan yang signifikan dalam merancakkan perkembangan animasi serantau.
Selain Bront, pelakon lain seperti Datin Atikah Suhaime dan Iskandar Zulkarnain turut berkongsi pengalaman berdepan cabaran besar apabila pertama kali terlibat dalam sebuah produksi animasi sepenuhnya.
Ini kali pertama saya melakonkan watak suara. Dalam animasi, semua reaksi seperti jatuh, marah, terkejut perlu dilakonkan sepenuhnya melalui suara. Tak boleh harap mimik muka macam biasa,” jelas Atikah.
“Saya tak biasa buat animasi, ini kali pertama. Tapi saya suka sebab lebih bebas, kita boleh olah suara sendiri dan kemudian animator, iaitu individu yang menghasilkan pergerakan watak akan sesuaikan animasi mengikut cara kita bawa suara tu,” celah Iskandar Zulkarnain pula.
Pelakon veteran Chew Kin Wah turut berkongsi perancangan pihak produksi untuk menerbitkan filem My Stupid Boss ketiga dengan gabungan pelakon baharu dan lama termasuk prekuel yang menyentuh kisah awal Bossman dan pekerjanya.
Ada rancangan untuk filem ketiga. Mungkin pelakon lama akan kembali tapi kita juga sedang cari pelakon baharu, pelakon Cina muda sekitar 23 hingga 24 tahun. Mungkin prekuel kisah sebelum mereka masuk ke ofis Bossman,” ujar Chew Kin Wah.

PERTAMA kali meminjamkan suara untuk naskhah animasi, Atikah mengakui sangat teruja meski banyak cabaran.
My Stupid Boss: The Animated Series arahan Daryl Wilson merupakan adaptasi daripada lima jilid buku karya popular chaos@work, terbitan Falcon Pictures dengan kerjasama Vidio yang membabitkan lebih 200 tenaga kerja kreatif.
Proses rakaman suara naskhah berkenaan hanya mengambil masa satu hari untuk keseluruhan 13 episod, manakala pembikinan animasi yang dijalankan dua tahun lalu di Indonesia mengambil masa selama dua tahun untuk disempurnakan.
Sepanjang proses produksi, rakaman dilakukan dalam persekitaran terkawal dengan pematuhan prosedur kerja yang ketat, tanpa sebarang insiden atau kemalangan yang berlaku.
Skrip asal siri ini ditulis dalam bahasa Indonesia sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bagi menyesuaikan dengan pelakon suara tempatan.
Naskhah berkenaan juga turut mengekalkan elemen komedi dan penceritaan tentang kekacauan di tempat kerja akibat kerenah Bossman yang menampilkan lakonan suara pelakon asal Reza Rahadian, serta disampaikan dalam gaya jenaka yang lebih bebas dan berwarna-warni menerusi animasi.
Barisan pelakon suara turut mengekalkan pelakon asal daripada filem terdahulu, termasuk Bunga Citra Lestari sebagai Kerani, Bront Palarae sebagai Adrian, Chew Kin Wah sebagai Mister Kho, Atikah sebagai Norah Sikin dan Iskandar Zulkarnain sebagai Azhari – HIBGLAM