Dari garaj kecil di Bogor ke pentas antarabangsa.”
Demikian kata-kata yang diucapkan vokalis kumpulan Dadali, Dyrga pada Konsert Dadali Sebuah Kisah Live di Zepp Kuala Lumpur (KL), baru-baru ini.
Pertama kali beraksi di sebuah pentas konsert di Malaysia selepas 16 tahun ditubuhkan, sudah pasti peluang tersebut digunakan sepenuhnya band popular Indonesia itu sebaik mungkin.
Pernah berkunjung ke Kuala Lumpur pada 2012 iaitu selepas tiga tahun penubuhan, namun akui mereka itu hanya untuk sesi promosi album.
Muncul pukul 8.45 malam bersama tayangan montaj perjalanan seni mereka, Dadadi yang dianggotai Dyrga diiringi Boim (gitar), Rickarjd (gitar), Dendi (keyboard), Hendi (bes) dan Obot (dram) memanaskan malam istimewa tersebut dengan lagu Di Saat Sendiri dan Cinta Jangan Kau Pergi.

MEWAKILI ahli kumpulan yang lain, Dyrga berulang kali mengucapkan terima kasih kepada peminat yang hadir menonton konsert suking mereka di Malaysia.
Tidak henti-henti menzahirkan penghargaan kepada hampir 1,600 penonton yang memenuhi dewan, bagi Dadali peminat di negara ini turut menjadi penyokong tegar mereka.
“Assalamualaikum semua. Terima kasih sudah datang walaupun di KL banyak tempat yang mengadakan konsert, tapi luar biasa semua di sini kerana tetap hadir.
Sebenarnya saya selalu berulang-alik dari Bogor, Jakarta ke Malaysia. Bukan sekadar cinta, tapi tentang hati, semoga lagu-lagu Dadali pernah mengisi kekosongan hatimu semua,” kata Dyrga.
Bukan hanya seleksi hit sendiri, Dadali tampil lengkap berbusana Melayu tradisional apabila memilih lagu band tempatan Kapilla iaitu Dikir Rambong dalam dialek Kelantan bersama-sama kumpulan dikir barat BaiZam Generation.
Segmen tersebut seakan-akan mengimbas kenangan ketika vokakis berusia 43 tahun itu mengadakan persembahan di konsert mingguan Gegar Vaganza musim ke-11 pada akhir tahun lalu.

BIJAK membeli jiwa, Dyrga dadali turut mengundang kumpulan dikir barat tempatan mengiringi dendangan lagu Dikir Rambong.
Mempunyai katalog lagu yang panjang, seleksi galau lain yang membuatkan khalayak sama-sama berdendang adalah Kasih Sayangilah Aku, Aku Telah Berdua, Sakit Teramat Sakit dan Di Saat Patah Hati.
Dyrga turut berkongsi pentas dengan rakan yang bersamanya dalam GV11, Ronnie Hussein membawa lagu Di Saat Aku Mencintaimu yang disambut sorakan penonton.
Ronnie sebelum itu tampil solo bersama seleksi berhantu Hyper Act berjudul Hanya Aku dan Harapan.
Filem biopik
Dadali kembali mengambil alih pentas bersama lagu cover version Aishiteru yang membuatkan dewan bergema dengan nyanyian asal Zivilia Band itu.

DYRGA berduet dengan rakannya, Ronnie Hussein dengan membawakan lagu Di Saat Aku Mencintaimu.
Selain itu, mereka juga tidak melupakan peminat apabila mengundang seorang penonton ke pentas untuk menemani Dyrga menyampaikan lagu Di Saat Aku Pergi.
Sebelum mengundur diri dan berjanji bakal kembali lagi, Dadali memilih lagu yang lebih galau iaitu Cinta Yang Tersakiti, Di Saat Aku Tersakiti dan Mungkin Pilihan Terbaik.
“Masya-Allah, kamu sangat luar biasa. Ini bukan 10 lagu tetapi 18 lagu.
Kalian di bawah sangat kuat berdiri, terima kasih banyak. Janji kita jumpa lagi insya-Allah.
“Siapa tahu ada susulan iaitu Sebuah Kisah Volume 2,” luahnya.

DADALI berjanji akan kembali dengan siri kedua konsertnya di Kuala Lumpur, satu hari nanti.
Bagai mengerti keinginan ramai, Sebuah Kisah yang dilancarkan awal tahun ini pula dialunkan, bahkan Dyrga mewakili teman lain mengumumkan sebuah filem biopik mengenai perjuangan mereka bakal direalisasikan.
Sebuah kisah akan dibawa ke layar perak yang mengangkat cerita perjuangan serta jatuh bangun sejak Dadali ditubuhkan pada 2009,” katanya yang meraih sorakan gembira penonton.
Bijak mengambil hati penggemar, pilihan repertoire lagu yang tepat, lincah beraksi bersama pakej vokal mantap serta berbicara apabila perlu menjadikan konsert dua jam tersebut berlangsung dengan sempurna.
Konsert anjuran Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media dan BIZCreations itu mendapat sokongan Tourism Malaysia bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. – HIBGLAM