‘Tak perlu kontroversi untuk popular, masa saya akan tiba nanti’

MASIH berusaha mengukuhkan nama, pelakon Amir Nafis mendedahkan ada pihak menyarankannya mencipta kontroversi demi memastikan namanya lebih dikenali.

Amir atau nama sebenarnya Amir Nafis Ma’arof, 33, bagaimanapun berkata, dia lebih selesa bertatih daripada membiarkan diri terpalit dengan isu negatif yang memakan diri.

“Memang belum ada lagi watak besar atau menjadi tunjang utama mana-mana filem, tapi saya tetap bersyukur mendapat kepercayaan penerbit apabila rezeki tidak putus datang.

Walaupun belum dapat jadi hero, untuk tahun ini ada tujuh naskhah dalam pembikinan selain bakal memulakan penggambaran, manakala tiga lagi sudah dapat tarikh tayangan termasuk Paraxnormal.

“Barangkali sebab itu ada yang kata saya belum cukup popular, kena buat sesuatu agar nama naik termasuk cipta cerita sensasi,” katanya kepada HibGlam.

Akui anak jati Kuala Lumpur itu, dia tidak terdesak untuk memperjudikan bakat dengan berbuat demikian kerana yakin masanya akan tiba satu hari nanti.

Ramai sahaja aktor senior yang mengambil tempoh panjang sebelum meraih kepercayaan penerbit dan pengarah, percayalah rezeki kita pasti ada, cuma cepat atau lambat,” ujarnya.

Terdahulu, lulusan bidang perfileman Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu didakwa kurang popular berbanding rakan seperjuangan lain meski sudah membintangi deretan filem termasuk Sheriff: Narko Integriti dan Blood Brothers: Bara Naga.

Berkongsi mengenai filem Paraxnormal yang bakal menemui penonton pada 28 Ogos depan, Amir teruja berkongsi layar dengan Joey Daud, Azhan Rani dan Epi Kodiang dalam naskhah genre komedi seram itu.

“Ini kali pertama saya terbabit dalam naskhah genre komedi seram kerana sebelum itu lebih kepada filem aksi, malah sangat gementar awalnya bergandingan dengan otai-otai.

Bersama Azhan sudah empat filem tetapi dengan Joey dan Epy merupakan kali pertama, sangat menyeronokkan tapi mencabar kerana karakter saya serius.

“Saya kena tahan diri sepanjang babak sampai perlu alihkan fokus kepada benda serius sebab takut  tergelak, sangat mencabar. Paraxnormal memang wajib tonton,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok