‘Dia Misha Omar konsert riwayat cinta buat semua’

SELEPAS kejayaan single terbaharu Break, penyanyi bersuara emas, Misha Omar mengotakan janjinya untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar berjudul DiA Misha Omar menjelang November nanti.

Mengambil tempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 29 November, konsert anjuran Double M Productions tersebut bakal menyaksikan Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 43, mempersembahkan perjalanan seninya selama lebih dua dekad dari zaman Bunga-Bunga Cinta hingga ke karya terbaharu.

DiA Misha Omar bukan hanya tentang saya seorang tapi tentang bagaimana perjuangan karier lebih 20 tahun ini disokong penuh makna oleh pemain industri dan peminat.

“Ironi, saya tidak pernah mempunyai kelab peminat tetapi dengan kuasa karya bermutu yang diberikan kepada saya, dengan kepercayaan peminat bahawa saya masih relevan untuk menghiburkan mereka, maka perjalanan seni saya dapat bertahan sehingga kini,” katanya.

Misha yang mula mencipta nama selepas memenangi program realiti Bintang RTM pada 2001, menyifatkan konsert itu sebagai sebuah titik terpenting dalam fasa kariernya yang sudah berusia 23 tahun dalam industri seni.

Siapa sangka, diam-diam saya berjaya melewati ‘hitam-putih’ 20 tahun sebagai seorang penghibur. Dan DiA Misha Omar adalah titik destinasi baharu yang akan saya tandai dengan sejarah baik dan manis bersama anda semua.

“Konsert itu umpama sebuah riwayat cinta daripada Misha Omar kepada semua.

“Saya mahu melihat, Masih Adakah Rasa Itu terhadap Misha Omar. Jika ada, Pulangkan rasa itu dan Semoga Abadi DiA Misha Omar,” tambah anak jati Cik Siti Wan Kembang itu.

TIKET konsert DiA Misha Omar akan dijual bermula 25 Julai nanti.

Menurut Double M Productions, konsert DiA Misha Omar bukan kesinambungan kepada ‘showcase’ Disember lalu.

Sebaliknya, acara berkenaan merupakan sebuah pementasan penuh apresiasi terhadap seni, muzik dan dedikasi pemilik tiga trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) itu yang kekal relevan hingga kini.

Pengurus konsert, Altus Prohouse turut memberi jaminan kepada peminat yang bakal hadir menikmati persembahan eksklusif dan berkualiti dengan penglibatan nama-nama besar seperti Jennifer Thompson (penerbit konsert), Datuk Syafinaz (pengarah vokal), Sze Wan (pengarah muzik) serta Simon Khoo dan Hamzah Tahir yang masing-masing menggalas peranan pengarah teknikal dan artistik.

Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah pengalaman baharu buat peminat Misha yang mahu menyelami kisah dan emosi dalam setiap karya beliau. Kami janji, konsert itu akan menjadi malam yang sukar dilupakan,” jelasnya.

Tiket konsert DiA Misha Omar akan mula dijual pada 25 Julai nanti pukul 10 pagi menerusi platform https://jiotix.asia/events/dia-misha-omar, dengan harga bermula RM288 hingga RM1,200.

Pembeli tiket VIP 1 layak menikmati sesi beramah mesra serta pas sesi latihan, manakala pembelian untuk peminat yang merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU) boleh dibuat melalui talian +6011 1660 1122. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok