‘Selagi tak petik nama saya, dia berada di zon selamat’

AKTRES tersohor Fauziah Ahmad Daud hairan apabila namanya dikaitkan dengan dakwaan guru vokal, Adzrin Adzhar pernah diherdik seorang artis veteran.

Fauziah atau mesra disapa Ogy, 63, berkata, tiada keperluan baginya untuk mengulas dakwaan tersebut apatah lagi menjawab tuduhan mempunyai pengaruh besar sehingga mengakibatkan penyanyi terbabit digugurkan daripada sebuah program televisyen.

Siapa saya nak singkirkan orang. Adakah individu itu ada menyebut nama saya? Kalau tiada, saya tidak patut jawab isu ini.

“Tetapi kalau dia petik nama saya, peguam saya akan jawab soalan itu. Selagi tak sebut, maknanya dia berada di zon selamat. Semudah itu,” katanya ketika sidang media Asian Top Stars di ASWARA, hari ini.

Menurutnya, dia langsung tidak menyedari kewujudan insiden yang diketengahkan individu berkenaan, apatah lagi ambil peduli identiti artis veteran dimaksudkan.

“Saya sendiri tidak membaca tentang isu ini, malah keluar di mana artikelnya pun saya tidak tahu.

Kalau dia sebut artis veteran yang sudah lima dekad, saya rasa ramai lagi artis yang sudah 50 tahun berada dalam industri,” ujarnya.

Pada masa sama, bintang berpengalaman itu menegaskan tidak pernah terbabit dalam mana-mana program bersama Adzrin namun pernah bersemuka dengannya di satu acara.

“Saya pernah bertemu dengannya ketika sidang media konsert Ezad Lazim. Setakat itu sahaja pertemuan kami.

Saya juga tidak pernah bekerjasama dengan dia dalam mana-mana program. Saya cuma pernah dengar namanya sebelum ini.

“Tak tahu kenapa netizen petik nama saya dalam isu ini atau mungkin netizen nampak saya paling popular,” selorohnya.

Terdahulu, Adzrin, 40, menzahirkan kekecewaan apabila berdepan pengalaman pahit membabitkan seorang artis senior dan rasa terhina.

Selebriti berkenaan mempersoalkan kredibilitinya sebagai tenaga pengajar selain mendakwa pelakon itu meminta produksi menggugurkan namanya daripada menyertai sebuah program televisyen.

Walaupun terkesan, Adzrin memilih untuk kekal positif, bahkan terbuka untuk bekerjasama andai diberi peluang pada masa akan datang.

Sementara itu, menyentuh perihal Asian Pop Stars yang bakal bersiaran secara langsung di RTM bermula 29 November depan, Fauziah dipilih sebagai pengetua.

Pertandingan membabitkan penyertaan peserta dari seluruh Asia itu menawarkan hadiah mencecah RM200,000 serta melayakkan lapan finalis menjalani latihan di akademi hiburan Korea Selatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok