PENYANYI Zizi Kirana berharap orang ramai tidak tersalah tafsir beberapa perkongsian Threads yang dimuat naiknya sehingga menjadi bahan bualan hangat dalam media sosial ketika ini.
Menurut Zizi atau nama penuhnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, dia tidak menyangka hantaran dalam platform tersebut yang dikongsi sekitar tahun 2022 dikaitkan dengan dakwaan rumah tangganya yang dikatakan goyah sebelum ini.
“Berkenaan isu yang dibangkitkan semula kebelakangan ini, sebenarnya sudah lama berlalu.
“Cuma mungkin masa isu ini muncul semula membuatkan pelbagai tafsiran terjadi.
Saya juga dimaklumkan bahawa beberapa status lama saya di Threads serta video TikTok saya dari 2022 telah diambil dan dijadikan bahan perbualan semula,” katanya dalam Instagram hari ini.
Tambah Zizi, semua yang dikongsi dalam media sosial adalah secara rawak namun tidak mempunyai kaitan dengan sebarang isu termasuk cerita peribadi mana-mana pihak.
“Bagi saya, perkara-perkara itu ditulis dan dikongsikan pada waktunya, bukan untuk dijadikan naratif hari ini.
SAYA menulis dan berkongsi sebagai seorang manusia sama seperti kalian, bukan untuk dijadikan babak tambahan dalam cerita sesiapa.
“Saya percaya, seni yang tulen dan jujur tak perlukan kisah peribadi sesiapa pun,” jelasnya.
Dalam masa sama, dia juga masih kekal dengan prinsip terus menjual cerita kerjaya seni berbanding menjaja kisah peribadi kepada umum.
“Sejak awal penglibatan dalam dunia seni, saya memang memilih untuk tidak mencampuradukkan hal kerja dan peribadi. Itu cara menjaga apa yang saya sayang.
Yang mengenal dan menghormati, akan serta diam. Saya memilih untuk tidak mengulas panjang.
“Cukuplah saya terus mendoakan yang baik-baik untuk semua, termasuk diri sendiri. Sayang kalian semua!” ujarnya lagi.
Terdahulu, Zizi menafikan dakwaan rumah tangganya dengan suami yang juga pelakonYusuf Bahrin berantakan dan meminta orang ramai terus mendoakan terbaik buat mereka.
Khabar angin rumah tangga pasangan itu didakwa bergolak selepas Zizi dikatakan kerap memuat naik konten berbaur patah hati dalam platform Threads. – HIBGLAM