MIMPI jadi kenyataan, itu yang dirasai penyanyi Bella Astillah apabila dijemput membuat persembahan bersama isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali pada acara Nota Percaya yang bakal berlangsung pada 23 Ogos depan.
Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, berkata, jemputan tersebut diterima pada bulan lalu dan tidak pernah menyangka hari bersejarah sebegitu akan dilaluinya.
“Masih rasa seperti mimpi jadi realiti. Bulan lalu ibu saya terima panggilan telefon iaitu jemputan untuk saya membuat persembahan bersama Tun Siti Hasmah.
Pada mulanya saya tidak percaya sehinggalah melihat sendiri mesej tersebut dan bercakap dengan individu terlibat.
“Sebab tidak pernah saya terfikir bahawa perkara sebegini akan berlaku, Alhamdulillah,” katanya dalam satu hantaran Instagram semalam.
Bukan sahaja dijemput, Bella juga bertuah apabila berpeluang berlatih dan bermain alat muzik berdua bersama Tun Siti Hasmah semalam.
Dia juga menyifatkan keperibadian Tun Siti Hasmah dan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad atau Tun M sebagai luar biasa.
Hari ini, saya bertemu dengan Tun Siti Hasmah, berkongsi pelbagai cerita dan gelak tawa.
“Tun M dan Tun Siti Hasmah sangat baik kerana menjemput saya untuk makan tengah hari walaupun sudah lambat untuk ke kelas.
Tadi ternangis sekejap, mereka terlalu baik, manis dan ikhlas. Masya-Allah.
“Semoga Allah SWT terus kurniakan kesihatan yang baik buat mereka berdua. Dua permata kesayangan Malaysia,” ujarnya.
Dalam video dikongsinya, Tun Siti Hasmah turut bermain biola sementara Bella pula memetik gitar.
Menerusi perkongsian sama, Bella turut memaklumkan konsert Nota Percaya bakal berlangsung pada 23 Ogos ini di Andaman Grand Ballroom, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. – HIBGLAM