PELAKON sensasi Rozita Che Wan, 51, enggan menjadikan bakal menantu sebagai musuh sebaliknya mahu menyemai kasih sayang sesama mereka.
Menurut Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, hati menantu juga perlu dijaga supaya dapat mengekalkan keharmonian hidup berkeluarga.
Saya bukan sejenis mak mentua yang cerewet. Kalau nak cerewet dengan menantu, takut nanti anak kita tak nak balik rumah kita.
“Nak pikat anak kita, kena pikat dulu menantu,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian butik Rizman Ruzaini, di sini, semalam.
Tambah pelakon yang terkenal dengan watak Kiah Pekasam itu lagi, dia banyak belajar dengan bekas ibu mentuanya.
“Saya belajar daripada pengalaman bersama bekas ibu mentua saya dulu. Dia tidak pernah menyuruh dan memaksa saya.
Contohnya dia akan cakap hari ini mama buat pulut kuning, teringat kat Rozi, Rozi kan suka. Secara tidak langsung dia nak suruh saya balik rumah dia.
“Jadi saya belajar semua benda tu daripada dia dan saya akan gunakan cara yang sama untuk bakal menantu saya nanti,” kongsinya.
Untuk rekod Ogos tahun lalu Che Ta berkongsi tentang perancangan majlis merisik bakal menantunya yang akan berkahwin dengan anak sulungnya, Ammar Effendy, 29.
Pasangan ini dijangka akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. – HIBGLAM