‘Jangan gaduh, pusing kanan pusing kiri akan jumpa juga’

SELAKU rakan industri, artis senior Datuk Awie berharap kemelut antara penyanyi Shila Amzah dan penyanyi legenda, Datuk Amy Search yang berlaku baru-baru ini segera diselesaikan.

Malah, Awie atau nama asalnya Ahmad Azhar Othman, 56, berharap kedua-dua pihak mencari jalan perdamaian memandangkan hubungan sesama artis dalam industri hiburan sangat rapat dan sering bertembung dalam pelbagai urusan kerja.

Saya pun berharap sangat supaya Shila dan penyanyi legenda itu berbaik serta tidak akan memanjangkan cerita ini sebab saya tahu penyanyi terbabit orangnya jenis bercakap lembut dan Shila tentulah dia pula wanita.

“Kita pun tahu ada pasang surutnya kehidupan. Jadi, harap-harap mereka kekal baik.

“Kita rakan satu industri seni ini, pusing kanan pusing kiri akan jumpa juga akhirnya. Jangan gaduh-gaduh dan keruhkan lagi suasana yang tengah teruk di mana kita boleh lihat artis dan industri mudah dihina oleh netizen,” katanya pada sidang akhbar The Chosen One Xtra X Jutawan Ekpress di Astro, hari ini.

Pada masa sama, pelantun lagu Bara itu memohon maaf atas tindakan memuat naik hantaran dalam Facebook dan berharap orang ramai tidak membuat tuduhan terhadap dirinya.

“Saya minta maaf kerana saya pun stres. Saya pun terpaksa, kena bersihkan nama saya.

Saya cuma berdoa semoga orang boleh ingat kebaikan saya, asyik ingat buat jahat sahaja.

“Saya pun ada buat kebaikan untuk pengetahuan semua,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Awie memberitahu sudah menghubungi bapa kepada pelakon Nabila Huda dan sanggup menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

“Saya ada hubungi dia dan dia minta maaf.

Saya ada pesan kalau perlukan apa-apa bantuan boleh beritahu.

“Apa pun, saya akan bantu selagi mampu,” ujarnya.

Pada 10 Julai lalu, Shila berkongsi kejadian diserang seorang penyanyi legenda ketika sesi latihan konsert sempena ulang tahun ke-20 Mr D.I.Y di Stadium Merdeka.

Susulan itu, netizen membuat spekulasi mengaitkan tiga nama penyanyi legenda termasuk Datuk Awie, Datuk Amy Search dan Ella kerana artis tersebut turut terlibat dalam acara tersebut.

Pun begitu, Shila kemudiannya mengesahkan bahawa individu yang mengherdiknya ketika sesi latihan untuk sebuah konsert itu ialah Amy.

Polis juga sudah mengambil keterangan daripada Amy selepas menerima laporan daripada Shila.

Hasil siasatan mendapati tindakan Amy itu adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap penyanyi berkenaan yang didakwa mencampur urusan keluarganya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok