Tiada kesepakatan, kes cerai Zehra, suami diselesaikan Hakam Islah

KEMELUT rumah tangga penyanyi Zehra Zambri memasuki fasa baharu apabila Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat memutuskan perkahwinannya dengan Nur Mohd. Iqwan Samsudin diselesaikan melalui proses Hakam Islah.

Peguam mewakili Zehra, Abd. Muiz Samsuri berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mensabitkan wujudnya unsur shiqaq iaitu persengketaan berpanjangan antara pasangan tersebut.

“Mahkamah sudah menetapkan berlaku shiqaq antara klien saya, Zehra dan suaminya. Maka proses penceraian perlu melalui pelantikan Hakam Islah pertama pada 13 Ogos depan.

“Biasanya Hakam Islah dalam kalangan keluarga, namun kali ini mahkamah sendiri akan melantik pihak profesional,” katanya kepada HibGlam ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.

Dalam prosiding sama, Abd. Muiz berkata, pihak defenden memohon agar Zehra menggugurkan beberapa tuntutan terdahulu termasuk isu nafkah dan dakwaan keganasan rumah tangga namun permintaan itu ditolak.

Kami tidak setuju dengan permintaan itu. Alasan tersebut jugalah yang membawa klien saya ke mahkamah untuk failkan permohonan cerai.

“Beberapa perenggan yang diminta untuk digugurkan sangat penting, jadi tidak timbul soal kompromi,” jelasnya.

Difahamkan, permintaan pengguguran tuntutan tersebut pernah dibuat pihak suami pada 7 Mei lalu.

Terdahulu, mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) namun tiada kata putus dicapai hingga kes berlarutan ke hari ini.

Zehra, 30, memfailkan perceraian secara fast track pada 7 Mac lalu selepas mendakwa sudah lebih tiga tahun mempertahankan rumah tangga mereka.

Penyanyi itu berkahwin dengan Iqwan pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia dua tahun setengah.

Sebelum ini, pelantun lagu Semalakama itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada Oktober 2017 namun hanya bertahan enam bulan sebelum berpisah pada April 2018.

Iqwan juga pernah berkahwin dan memiliki dua anak hasil perkahwinan terdahulu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok