‘Neelofa tak pernah merajuk sepanjang saya bersama dia’

DIKURNIAKAN  isteri terbaik, pendakwah bebas, PU Riz mengakui rumah tangganya bersama selebriti Neelofa aman tanpa sebarang episod rajuk sepanjang mendirikan rumah tangga lebih tiga tahun lalu.

Ujar PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 30, keutuhan rumah tangga mereka banyak disandarkan kepada pendekatan spiritual, termasuk menyelesaikan masalah melalui solat berjemaah.

“Alhamdulillah, Neelofa tak pernah merajuk sepanjang saya bersama dia.

“Seorang isteri yang memahami dan kalau ada masalah, kami akan sama-sama solat bersama.

“Selesaikan dengan solat, insya-Allah,” katanya menerusi satu video TikTok ketika menjawab soalan peminat.

Dalam video sama, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, turut berkongsi tip buat pasangan suami isteri yang merasakan perkahwinan mereka semakin hambar dan hilang ‘spark’.

“Saya rasa kalau dah tak ada spark, pasangan perlu berbincang secara beradab.

Kena ada toleransi dan masing-masing harus beri dan ambil untuk cari penyelesaian.

“Kalau masih tak selesai, mungkin kena libatkan pihak ketiga untuk kaunseling atau nasihat,” kongsinya.

Tambah bekas pengcara MeleTOP itu, sesebuah perkahwinan bukan hanya berlandaskan cinta semata-mata, tetapi memerlukan landasan agama untuk terus kukuh.

“Sudah tentu kena doa, zikir, tawakal dan hidupkan agama dalam rumah.

“Perkahwinan bukan sekadar suka sama suka, tapi satu amanah yang akadnya kontrak dengan Allah,” ujarnya.

Haris yang berada di sisi isterinya turut menyokong pandangan itu selain menegaskan bahawa pendekatan tersebut turut disebut dalam Al-Quran.

“Inilah jawapan ilmiah yang Neelofa sebut. Dalam Quran pun ada beritahu, kalau ada masalah, kena lantik wakil sebagai orang tengah untuk berbicara.

“Sebab kadang-kadang suami isteri bila dah terlalu bermasalah, tak boleh nak bercakap,” kongsinya.

Haris mendirikan rumah tangga dengan pelakon Suri Hati Mr Pilot itu pada 27 Mac 2021.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal, 4, dan Abdullah Abbas, 2. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok