‘Sakit! Dada rasa dihimpit benda berat, tulang bagai dipulas’

PENGALAMAN dikejarkan ke hospital dari set penggambaran sebuah drama gara-gara sesak nafas awal Februari lalu menjadi detik paling ngeri pernah dialami aktor prolifik, Zamarul Hisham sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni.

Fizikalnya kelihatan sihat dan masih aktif bekerja, siapa sangka pemilik nama sebenar Zamarul Hisham Mohamed, 54, sebenarnya berdepan saluran jantung tersumbat sehingga terkena serangan jantung secara tiba-tiba.

“Sewaktu kena serangan jantung kali pertama, saya hanya rasa kebas-kebas. Langsung tak tahu itu adalah petanda ada sakit jantung.

Selepas pemasangan stent kali pertama pada Februari, saya sangka sudah okey. Tetapi ketika hendak buat stent kali kedua saya kena serangan jantung setiap kali bangun tidur selama lapan hari berturut-turut.

“Seluruh dada rasa dihimpit dengan benda berat sampai ke belakang, tulang terasa diletak air sejuk dan rasa seperti dipulas.

Jika skala kesakitan antara 1-10, saya letak 11. Memang sakit tetapi hanya dalam tempoh dua ke tiga minit kemudian rasa sakit itu hilang,” ujarnya memulakan bicara.

HAMPIR hilang nyawa akibat serangan jantung, Zamarul mula insaf dan mengambil keputusan berhenti merokok dan vape secara total.

Sambung suami kepada pelakon Diana Rafar itu, dari situlah dia baru tahu rasa ‘sakit dada’ setiap pagi adalah sakit jantung.

Puncanya adalah pangkal saluran darah ke jantungnya sempit dan jika lewat mendapatkan rawatan berisiko kehilangan nyawa.

“Pangkal saluran ke jantung sempit dan jika darah tidak dapat lalu di ketiga-tiga saluran jantung itu, habislah saya.

Kiranya, tiga kali juga saya lakukan pemasangan stent. Alhamdulillah.

“Kini selepas dua bulan melakukan pemasangan stent terakhir, saya berada dalam keadaan sihat dan sudah boleh pergi ke gim dan bekerja seperti biasa,” tutur Zamarul.

Insaf

Selepas beberapa kali mengalami episod nyawa di hujung tanduk, pelakon yang popular dengan drama Aku Tanpa Cintamu itu sedar akan kesilapannya dan mula insaf dengan meninggalkan gaya hidup yang tidak sihat.

Namun, akui Zamarul, kesedaran untuknya tiba agak lewat kerana dia masih berdegil dan masih meneruskan habit merokok serta menghisap vape selepas pemasangan stent kali pertama.

“Saya degil sebenarnya (ketawa). Selepas buat stent pada Februari, saya sangka saluran sudah bersih jadi tiada keperluan untuk berjaga-jaga kononnya.

“Waktu itu, saya masih merokok dan belasah makan apa saja. Sehinggalah saya terkena serangan jantung, barulah saya tersedar.

Selepas pasang stent tidak bermakna saluran tidak boleh tersumbat semula. Jadi, saya perlu jaga makanan dan ubah gaya hidup.

“Saya berhenti merokok dan vape secara total. Saya berhenti makan nasi dan berhenti ambil gula, sebaliknya lebihkan protein,” katanya lagi.

Perkara paling luar biasa untuk Zamarul yang sememangnya seorang kaki gim adalah melakukan ‘brisk walk’ atau berjalan sejauh lima kilometer sama ada waktu pagi dan petang.

Tidak pernah seumur hidup saya melakukan ‘brisk walk’ sekarang inilah rutin saya selain pergi ke gim. Saya mahu sihat untuk diri sendiri dan keluarga serta hargai peluang hidup yang Allah berikan,” tuturnya.

Meski pernah berdepan detik cemas yang hampir meragut nyawa, Zamarul berlapang dada dan menganggap sakit yang dilalui adalah jentikan Allah untuknya menjadi lebih baik.

SUDAH melewati usia 54 tahun, Zamarul kekal laris dan kini beraksi di sisi Zul Ariffin menerusi filem Furious.

Selepas kembali sihat, kini Zamarul rasa terpanggil untuk menyebarkan kesedaran tentang serangan jantung yang sebenarnya boleh menyerang tidak kira usia.

“Hikmah yang saya dapat daripada sakit jantung adalah ilmu kesihatan yang mahal harganya. Doktor pakar kata, selain bayi yang baru lahir semua orang ada sumbatan di saluran darah masing-masing.

Cuma bezanya peratusan yang tersumbat sahaja. Jika bawah 50 peratus tidak perlu berjumpa doktor tetapi jika 70 peratus ke atas tiada ubat tradisonal yang mampu merawat kecuali dengan pemasangan stent atau belon.

“Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai supaya periksalah jantung anda, lakukan pemeriksaan darah dan tekanan (stress level).

“Jangan jadi seperti saya, mujur masih sempat dapatkan rawatan, jika tidak…,” pesannya tanpa dapat menghabiskan kata-kata.

Masih laris

Sungguhpun terpaksa berehat panjang dari Februari sehingga Jun, Zamarul tetap bersyukur kepercayaan produksi terhadap kudrat dan bakatnya tidak pernah berubah.

Zamarul kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem aksi berjudul Furious bergandingan dengan aktor Zul Ariffin.

“Mula-mula diserang sakit jantung, memang tiada tawaran mungkin produksi bimbang saya tumbang ketika penggambaran.

Sekarang saya memang sudah sihat sepenuhnya, doktor kata jika mahu lari maraton, masuk pertandingan Ironman atau melakukan adegan aksi tidak ada sebarang masalah.

“Dalam filem Furious walaupun menjadi jurulatih kepada watak Zul Ariffin saya tetap perlu menjalani latihan untuk kelihatan fit,” ujarnya.

Akui Zamarul, andai filem pecah panggung Blood Brother disambung dia sendiri meminta untuk diberikan adegan aksi.

Waktu saya muda dahulu tidak berpeluang untuk membawa watak aksi, apabila berusia baru peluang itu tiba. Walaupun sudah berumur, tetapi saya yakin mampu lakukan dengan baik seperti mana pelakon muda,” tuturnya.

Memang benar, meskipun usianya sudah mencecah lima dekad, Zamarul masih memiliki tarikan tersendiri apabila dia tercalon dalam Anugerah Melodi bagi kategori Selebriti Maskulin Terhangat bersaing dengan barisan pelakon seperti Faizal Hussein, Fattah Amin, Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad dan Remy Ishak.

“Masa isteri beritahu saya tercalon dalam Anugerah Melodi kategori Maskulin saya kata gila ke? Sudah tua-tua, maskulin apa bendanya (ketawa).

Perasan tidak sangka dan tidak logik, tetapi bila fikir kembali ini adalah ruang yang diberikan dan anugerah tidak tertumpu hanya kepada pelakon muda.

“Tidaklah beria hendak menang, saya lebih kepada mahu memeriahkan majlis sahaja. Cuma bersyukur tercalon bermakna orang masih ‘nampak’ saya dan bukti masih relevan dalam industri seni,” katanya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok