KELUNAKAN suara pelakon jelita, Hannah Delisha buat ramai terbuai apabila nyanyiannya dalam satu klip video santai yang dimuat naiknya baru-baru ini meraih perhatian.
Menerusi hantaran tersebut, Hannah atau nama penuhnya Hannah Adlina Blackburne Birch, 29, kelihatan bersahaja menyanyikan lagu Nanti Kita Seperti Ini nyanyian asal kumpulan pop-folk Indonesia, Batas Senja, sekali gus menjadi ruang untuk dirinya dan pengikutnya menikmati saat tenang dan menyembuhkan emosi.
“Tenangkan diri bersama saya,” tulisnya di ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Rata-rata netizen memuji kelunakan suara Hannah yang dianggap begitu mendamaikan, malah menyifatkan dirinya sebagai satu pakej lengkap yang bukan sahaja memiliki rupa paras cantik tetapi juga suara merdu.
“Dengar suara Hannah, jadi khayal teruk lah,” komen seorang pengguna.
“Saingan berat penyanyi asal ni,” ujar netizen lain.
“Dah lah cantik, suara pun sedap,” puji seorang lagi.
Sebelum ini, kumpulan Batas Senja sendiri pernah meluahkan hasrat untuk menampilkan Hannah dalam versi baharu lagu popular mereka selepas tertarik dengan keunikan suara pelakon kelahiran Singapura itu. – HIBGLAM.