Cantiknya mata, satu dunia tergila-gila

DALAM industri hiburan Korea Selatan yang sarat persaingan dan visualisasi serba sempurna, ada satu unsur fizikal sering mencuri tumpuan tanpa perlu disentuh secalit pun alat solek iaitu sepasang anak mata.

Lebih menakjubkan, ada bintang Korea dianugerahi warna iris menawan sejak lahir, membuatkan ramai tertanya-tanya sama ada keindahan itu asli atau ilusi kanta lekap berwarna.

Mereka bukan sekadar cantik atau kacak, tetapi memiliki satu keistimewaan luar biasa iaitu sepasang mata berwarna unik, asli sejak azali.

Tanpa perlu bergantung pada kanta lekap atau penyuntingan gambar, mereka hadir dengan pakej lengkap yang sesuai sebagai anak seni.

Kimchi Panas minggu ini menyenaraikan lima selebriti Korea Selatan yang memiliki warna mata memukau, dari mata mereka terpancar rasa emosi untuk cukup menyamankan dunia.

Lee Young-ae

Figura seni Korea Selatan yang satu ini tidak perlu diperkenalkan lagi, namanya sudah sekian lama meledak dalam arena seni lakon dan hiburan.

Kendati pun dikenali sejak era Hallyu (1990-an), satu perkara yang tidak pernah berubah tentang Lee Young-ae iaitu sepasang matanya yang penuh kelembutan, bersinar dalam rona coklat muda.

Tatapan wanita berusia 54 tahun itu dalam drama Jewel in the Palace suatu ketika dahulu cukup untuk membuat berjuta hati tunduk.

Kata peminat, mata yang dimiliki aktres jelita itu membawa simbol keibuan, kematangan dan keikhlasan.

Meskipun zaman berubah, pesona mata Young-ae tetap kekal seperti lukisan lama yang tidak pernah pudar, hanya menjadi semakin berharga dari masa ke masa.

Go Ara

Go Ara tidak pernah gagal mencipta fenomena dengan wajah klasik dan gaya lakonannya.

Anugerah terbesar miliknya terletak pada sepasang mata indah berwarna hazel kristal dan berubah-ubah mengikut sudut cahaya. Ada masa warna matanya kelihatan kehijauan, coklat keperangan.

Tanpa perlu gigih memakai kanta lekap, warna-warna tersebut membuat matanya hidup seperti kaleidoskop yang menari-nari bawah sinaran mentari.

Mata wanita berusia 35 tahun itu bukan sahaja membuatkan pengarah gemar menangkap wajahnya dalam babak dekat, malah menjadi inspirasi kepada ramai wanita lain.

Seo Kang-joon

 

 

Bintang drama Cheese in the Trap ini tidak hanya dikenali kerana bakat lakonannya, malah sorotan matanya yang bersinar dalam rona coklat emas sering kali menjadi bualan.

Warna tersebut bukan kesan pencahayaan atau manipulasi digital sebaliknya anugerah semula jadi kurniaan Tuhan kepadanya.

Jejaka tampan berusia 31 tahun itu dianggap memiliki mata paling ‘western look’ dalam kalangan aktor Korea. Tatapannya sering disamakan dengan sinaran matahari senja yang tenang tetapi membakar dari dalam.

Keunikan warna irisnya yang jarang dimiliki orang Asia menjadikan setiap ‘close-up’ wajah idola tinggi lampai itu memukau di skrin.

Karisma matanya membuktikan bahawa pesona tidak selalu datang dengan kata-kata.

Lee Sung-kyung

Siapa sangka pelakon dan model jelita Lee Sung-kyu sering menjadi mangsa fitnah kononnya sentiasa menyunting warna mata dalam gambar supaya kelihatan lebih menarik.

Mana tidaknya, mata wanita berusia 34 tahun berwarna hazel terang itu sangat jarang dimiliki apatah lagi sebagai orang Asia.

Menariknya, warna keemasan seakan hijau pada mata Sung-kyu menjadikan setiap lakonannya sarat emosi, walaupun tanpa sepatah dialog.

Disebabkan itu, ramai menganggap dia memakai kanta lekap sepanjang masa, namun hakikat membuktikan sebaliknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok