SEPANJANG lapan tahun bergelar pelakon, Siti Khadijah tidak pernah terpalit kontroversi menjatuhkan. Menapak daripada sebuah pertandingan realiti, sungguh, namanya mekar bersandarkan bakat semata-mata.
Tiada cubaan untuk viral mahupun mereka-reka cerita sekadar untuk memanaskan nama, populariti Siti Khadijah hadir selepas wajahnya sering menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama.
Ketenangan yang diraih bagaimanapun tidak kekal lama apabila tidak berapa lama dahulu pemilik nama sebenar Siti Khadijah Abd. Halim, 28, itu dituduh cuba mengelak atau melarikan diri daripada media gara-gara bimbang isu buli yang pernah diperkatakan kembali memanas.
Bertanya secara langsung dengan tuan empunya badan tentang isu berbangkit, Siti Khadijah bertegas tidak pernah melarikan diri daripada pihak media, namun tidak pula menyalahkan mana-mana pihak atas salah faham yang berlaku.
“Rasanya isu ini timbul semasa aktiviti promosi sebuah drama pada tahun lalu. Saya tidak ingat secara terperinci tetapi apa yang saya tahu adalah pada hari yang kejadian saya perlu berada di dua tempat yang berbeza.
Sebenarnya saya tidak boleh hadir pun acara tersebut kerana sudah terikat komitmen kerja yang lain, tetapi saya tetap datang atas dasar kerja dan terpaksa bergerak pulang awal.
“Tetapi saya faham pihak media juga perlu menjalankan tugas. Jika tiada sesi temu bual tiadalah artikel yang boleh dikeluarkan.
“Cuma memang saya terlalu sibuk pada hari tersebut dan berharap salah faham itu selesai,” tuturnya penuh tertib harap dimengerti.

PERNAH terpalit dakwaan kononnya cuba mengelak daripada bertemu media, Siti Khadijah mahu menjernih keadaan dan menyifatkan situasi tersebut sekadar satu salah faham.
Melencongkan segala kisah panas, biarpun berasakan ada khilaf perlu diperbetulkan, semua itu tidak melarat menjadi kudis. Kariernya terus menjadi dan kelibatnya terus menghiasi segala platform, daripada laman penstriman sehinggalah saluran televisyen.
Sedar bukan mudah untuk berada di posisi hari ini, Siti Khadijah menghargai setiap peluang yang datang dan sentiasa membumi. Istilah ‘orang baharu’ selalu menjadi pegangannya.
“Saya bersyukur dengan kurnia ini, atas rezeki, kesihatan, bakat dan rupa paras. Dalam dunia lakonan sentiasa ada pelakon baharu, jadi untuk ada tempat ini dalam industri saya sangat hargai sebab tahu bukan mudah.
“Sebab itu, saya masih rasa ‘hijau’ supaya sentiasa bersemangat untuk beri yang terbaik setiap kali masuk ke set penggambaran. Sebagai pelakon saya tidak boleh terlalu selesa perlu sentiasa cabar diri cuba sesuatu yang baharu,” tuturnya.
Idolakan Mira Filzah
Meskipun sudah stabil, Siti Khadijah berasakan belum tahapnya untuk memilih karya.
“Buat masa sekarang saya berlakon untuk mencari rezeki dan meneruskan kelangsungan hidup. Saya belum lagi boleh pilih karya, belum sampai ke tahap itu.
“Masih terlalu jauh, cuma bersyukur dengan rezeki yang sentiasa ada untuk saya setakat ini,” luahnya.
Berazam untuk beraksi di layar perak suatu hari nanti, filem sentiasa menjadi impian buat dirinya.
“Saya pernah mendapat beberapa tawaran berlakon filem tetapi jadual sentiasa bertembung. Saya anggap itu bukan rezeki dan mungkin belum tiba masanya.
Jika diberi peluang saya memang teringin berlakon filem. Kepada penerbit, jangan lupakan saya jika mahu terbitkan filem,” katanya berseloroh.
Dalam tawa dan bercanda, namun dia sangat serius mahu menjual bakat kepada penerbit filem.
Mengimbas detik awal dalam industri, Siti Khadijah mengakui begitu banyak pengalaman pahit dan manis telah dilaluinya.
Namun, momen paling manis yang tidak mungkin dilupakan adalah mengenali susuk pelakon Mira Filzah yang sudah dianggap seperti kakak sendiri.
Akui Siti Khadijah, dia mula mengidolakan Mira Filzah selepas bertemu dan bergandingan buat kali pertama dalam naskhah The Maid.
“Ketika itu, saya masih pelakon baharu, kebetulan kami habis penggambaran sekitar pukul 2 pagi. Keadaan waktu memang gelap dan agak bahaya untuk perempuan.
“Tetapi Mira bersama pembantunya sanggup tunggu di dalam kereta untuk bergerak sekali mungkin dia bimbangkan keselamatan saya.
Dia juga yang mengajar saya menjaga diri di set penggambaran, jika hendak tukar pakaian perlu di tempat yang betul-betul tiada kamera.
“Saya budak-budak sangat waktu itu, tukar baju di mana saja asal boleh (ketawa). Tidak pernah ada orang pedulikan saya sampai begitu sekali.
“Mungkin perkara itu kecil baginya, tetapi besar ertinya untuk saya,” kongsinya yang bersyukur bertemu insan sebaik bintang Curang Tanpa Niat itu.

SITI Khadijah kini menghangatkan kaca televisyen dengan watak Darlina, seorang gadis dan wanita kuat dalam drama Di Sebalik Reda yang sedang bersiaran menerusi Astro Prima.
Wanita kuat
Beralih perkembangan terbaharu kariernya, Siti Khadijah kini sedang hangat dengan drama Di Sebalik Reda siaran Astro Prima.
Membawakan watak Darlina, gadis kuat yang sentiasa menjadi tulang belakang keluarga dan menjadi orang suruhan kakaknya yang cacat, kata Siti Khadijah wataknya itu cukup berbeza.
“LMeskipun watak air mata tetapi berat dan saya yakin ramai wanita mengalami nasib yang sama. Sebelum kahwin, segala impian disekat keluarga, sudah berkahwin disekat suami pula.
“Keserasian saya bersama pelakon lain seperti Adam Lee dan Shazia Rozaini memang tidak dibuat-buat. Bersama Adam ini gandingan kali kedua, jadi ada momen di set penggambaran, saya tidak perlu bercakap padanya, tapi dia faham,” ujarnya lagi.
Membintangi drama terbitan rumah produksi, SR One Sdn. Bhd. dan karya Siti Rosmizah yang terkenal dengan karya-fenomena adalah salah satu impiannya.
“Sebagai pelakon saya ada bucket list’ dengan siapa saya mahu bekerja, jadi untuk mencapai impian-impian itu saya akan berusaha sehabis baik,” kongsinya yang kini sibuk dengan penggambaran drama Seoul Cinta.
Sebelum menutup bicara, Siti Khadijah berharap drama Di Sebalik Reda akan diterima penonton kerana mesej yang ingin disampaikan adalah realiti yang berlaku dalam kehidupan hari ini.
“Saya harap penonton memberi sokongan dan dapat lihat sisi bersama Siti Khadijah dalam drama ini.
“Walau ada yang kata drama ini tidak logik kerana kakaknya terlalu jahat, realitinya ada insan sebegitu, mungkin kita sahaja tidak sedar,” tutup Siti Khadijah. -HIBGLAM