‘Normal melonggarkan tudung untuk mudahkan proses bersolek’

DIKECAM hanya kerana mengenakan selendang menampakkan leher serta anak rambut, pelakon Qasrina Karim mempertahankan tindakannya melonggarkan tudung bagi memudahkan kerja jurusolek sebelum memulakan penggambaran.

Sedar khilaf sendiri, Qasrina, 29, bagaimanapun akur tindakan tersebut tetap tidak wajar dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menampakkan auratnya kepada umum.

“Ketika itu (video dirakam) saya sedang bersiap, sedang ‘makeup’ (bersolek).

Normal melonggarkan sedikit tudung sebab nak memudahkan proses bersolek.

“Namun, saya percaya itu bukan alasan untuk tidak perasan terdedahnya sedikit aurat saya,” katanya kepada HibGlam pada sidang media Home Of Drama, semalam.

Mengambil teguran secara terbuka, pelakon drama My Famous Ex-Boyfriend itu akan lebih berjaga-jaga selepas ini terutama melibatkan soal aurat.

“Saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Terima kasih yang ambil berat dan titip nasihat,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Qasrina akan muncul dalam drama terbaharunya berjudul Thariq Ridzuwan yang bakal ditayangkan pada 23 Julai depan, setiap Rabu dan Khamis di saluran Astro Ria.

Dia yang digandingkan dengan pelakon Meerqeen mengakui tidak menghadapi kesukaran untuk membentuk keserasian sepanjang penggambaran.

“Saya bersyukur keserasian antara kami tidak susah untuk dibentuk dalam drama ini.

Di luar set penggambaran pun kami berkawan, jadi tidak susah untuk bergandingan apabila di set.

“Meerqeen seorang yang mudah didedakati, bukan hanya dengan saya tetapi dengan semua kru di set,” tuturnya.

Sebelum ini, ramai peminat kecewa dengan tindakan Qasrina yang dilihat tidak menutup aurat dengan sempurna dalam video yang dimuat naik bersama Meerqeen.

Lebih membuatkan peminat kecewa apabila ini bukan kali pertama Qasrina ditegur kurang peka dengan penampilan dan tidak sering mengulangi kesilapan sama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok