‘Tak salah main pickleball untuk riadah’ – Niezam Zaidi

“FIFY pandai main pickleball, jadi saya ajak dia.”

Demikian respons aktor, Niezam Zaidi selepas didakwa menyambung kembali hubungan cinta dengan pelakon Fify Azmi susulan tular di media sosial video mereka bermain pickleball, baru-baru ini.

Niezam atau nama sebenarnya Mohd. Niezam Mohd. Zaidi, 32, berkata penyertaan bersama-sama dalam sukan tersebut tidak membawa maksud lain memandangkan mereka tetap bersahabat seperti dahulu.

“Tidak akan pernah ada kenyataan daripada saya, apa yang dilihat itu adalah seperti manusia biasa, tak salah main pickleball untuk beriadah.
Itu jemputan untuk acara tertutup.

“Tiada komen mengenai hubungan saya dan Fify sekarang ini. Kami masih berkawan, doakan yang terbaik,” katanya ketika ditemui di majlis Watch Party Drama Dia Bukan Syurga di Studio Village, di sini, semalam.

Pelakon yang membawakan watak Tajul dalam drama bersiri arahan Rashid Sibir itu turut mengakui kini lebih berhati-hati dalam berkongsi soal peribadi kerana bimbangkan penyakit ain.

“Mungkin, salah satunya (takut penyakit ain), wallahualam tapi lebih baik saya simpan sahaja komen saya.

“Cuma siapa yang selalu ikuti cerita peribadi saya tentu tahu sebelum ini saya terlalu bercerita sampai bila jadi perkara yang tak terjangka, ia makan dalam.

“Sekarang saya serahkan segala-galanya kepada Allah. Saya banyak belajar daripada pengalaman, semua itu mematangkan saya,” ujarnya.

Tidak menolak jodoh, akui Niezam seperti insan lain dia juga mahu membina keluarga. Tunggu masa yang sesuai. Insya-Allah.

“Siapa yang nak berstatus bujang lama-lama? Mesti nak berumah tangga juga kan. Kita doakan yang baik-baik sahaja,” katanya.

Sekitar bulan lalu Fify menjadi perhatian apabila mengumumkan sudah berpisah dengan Niezam biarpun sebelum itu tercetus spekulasi mereka sudah merancang ke fasa berumah tangga.

Sementara itu, mengenai Dia Bukan Syurga yang bakal menemui penonton bagi episod terakhir malam ini, akuinya drama bersiri ini menyuntik pengalaman istimewa buat dirinya biarpun ramai berdendam dengan watak dibawakan.

Bagi Niezam, karakter suami baran dan cemburu yang menyimpang daripada sifat dirinya sekali gus meninggalkan impak kepadanya secara peribadi apabila perlu menjiwai sikap Tajul hampir tiga bulan.

“Memang mencabar kerana segala perkara negatif yang ada pada suami Nuha iaitu watak dibawakan Ezzanie Jasny sangat kontras dengan saya.

“Apa pun, saya tak ambil hati dengan kecaman kerana karakter ini juga hakikatnya membuka mata masyarakat mengenai peka terhadap kesihatan mental seseorang,” ujarnya.

Episod finale kisah yang diangkat daripada novel dan turut diterajui Nazim Othman itu disiarkan di Astro Ria pukul 10 malam ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok