TAMPIL bersuara, cucu kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, Ally Mukhriz mengakui tidak menyangka gambar busana pernikahan lima tahun lalu yang dikongsi semula di laman sosial mencetuskan kekecohan.
Ally atau nama sebenarnya Meera Alyanna Mukhriz, berkata, hantaran dibuat bukan untuk membandingkan baju pengantinnya dengan pelakon, Esliza Loy, sebaliknya sekadar mengimbas memori ketika hari bersejarahnya.
“Saya langsung tak ‘bitter’ dan betul apa yang awak katakan, saya memang di-tag dan dikirimkan hantaran tersebut.
“Tetapi saya tidak bayangkan akan jadi seperti ini (kecoh). Tidak langsung saya maksudkan ‘siapa pakai lebih cantik’
“Kedua-dua pereka dan pengantin jelas mengambil inspirasi daripada rujukan sama dan hasilkan busana yang kami berdua suka. Saya hanya mengimbau kenangan, itu sahaja.
Menerusi perkongsian sama, Ally menitipkan doa agar pelakon terbabit menikmati kegembiraan dalam melayari kehidupan bersama suami tercinta.
Sejak semalam isu persamaan busana perkahwinan antara adik kepada pelakon Elfira Loy dengan baju pengantin miliknya menjadi bualan dalam laman sosial.
Selepas Ally memuat naik foto pernikahannya, perdebatan mula tercetus apabila ada yang mendakwa wujud persamaan selain menyatakan pereka busana Ezlisa, Samm Republic meniru hasil kerja Fizi Woo.
Tidak berdiam diri, Ezlisa pula tampil menjelaskan inspirasi sebenar busananya adalah daripada pereka fesyen antarabangsa terkenal dari Filipina, Michael Cinco.
Pada masa sama, Elfira berkongsi satu hantaran seolah-olah meluahkan rasa kesal terhadap sikap individu tertentu yang disifatkan sebagai ‘pembunuh kegembiraan’. – HIBGLAM