PENYANYI popular, Shila Amzah diserang seorang penyanyi bertaraf legenda sewaktu membuat latihan konsert di Stadium Merdeka.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, mendedahkan perkara itu terjadi di hadapan kru yang bertugas untuk sesi latihan Konsert MR D.I.Y yang dijadualkan berlangsung esok.
“Gila bila seorang penyanyi legenda boleh menyerang saya di hadapan semua kru di tempat awam. Bersyukur sebab kamu orang tua.
“Tetapi kamu telah mencetuskan ‘anxiety’ (kebimbangan) terhadap keselamatan saya,” tulisnya dalam Instastory.
Menerusi perkongsian semula hantaran pengurus Shila yang dikenali sebagai Aini, dia menyatakan bahawa satu laporan polis telah pun dibuat dan siasatan lanjut akan dijalankan.
Setakat ini, belum dapat dikenal pasti siapa penyanyi legenda yang dimaksudkan Shila.
Antara penyanyi yang terlibat dalam Konsert sempena ulang tahun ke 20 MR. D.I.Y ialah Datuk Amy Search, Datuk Awie, Ella Aminuddin, Jaclyn Victor, Penny Tai, Jeryl Lee dan 3P. – HIBGLAM