Hazama tak percaya narsisistik, terlalu menghakimi

MAHU kekal relevan dalam industri seni tanah air, penyanyi Hazama berusaha sedaya upaya mempertaruhkan bakat serta kebolehan diri.

Biarpun sudah lama mencipta nama, bukan mudah bagi pemilik nama penuh Hazama Ahmad Azmi itu mengukuhkan posisi untuk sebaris dengan penyanyi papan atas.

Baginya, usaha berterusan termasuk kekerapan mengeluarkan lagu baharu merupakan kunci utama untuk mengekalkan kedudukan.

Kali ini, Hazama tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Aku Bukan Narsisis. Begitu pun, dia mengakui kurang senang dengan penggunaan istilah narsisistik yang dianggap label negatif terhadap seseorang.

Menurut penyanyi berusia 40 tahun itu, meskipun karya tersebut berkisar tentang isu personaliti narsisis seperti yang dikehendaki produksi, dia berpendapat istilah itu terlalu mudah digunakan bagi menghakimi seseorang.

“Saya sebenarnya tak setuju dengan perkataan narsisistik. Bagi saya, perkataan itu negatif dan saya tak pernah berhubung, bekerja atau berjumpa dengan orang begitu.

“Kalau ada pun, saya tak pernah anggap orang itu narsisistik. Saya sifatkan individu berkenaan tengah mengalami ‘bad day’ (hari yang teruk) sahaja.

“Kalau saya letakkan orang itu narsisistik, maka selamanya dia akan jadi narsisistik dan tidak akan berubah.

“Bila Sony Music dan Farouk Roman minta saya menulis tentang narsisistik. Saya tak setuju penggunaan perkataan ini, saya rasa tak betul wujud, tapi saya buat juga seperti yang mereka mahu,” katanya kepada HibGlam.

HAZAMA menyifatkan Akademi Fantasia sebagai sekolah terbaik yang membentuk dirinya sebagai penyanyi. – IQBAL ROSLI

AF tempat belajar

Mengulas perjalanan kariernya yang sudah menjangkau lebih sedekad sejak menjuarai Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9), Hazama masih berpegang teguh pada ajaran serta latihan sepanjang berada dalam program realiti terbabit.

“Sebenarnya dalam AF selama tiga bulan, kami sudah diberi bekalan cukup untuk segala ‘benda’ yang kami lalui sekarang.

Semua tenaga pengajar dan produksi sudah beritahu persiapan diperlukan.

“Sudah ada ilmu, tak tahu macam mana nak kekalkan. Bagi saya, saya lebih fokus pada kualiti sebab apa yang diajar dalam

AF itu mengenai kualiti. Maka saya pegang sahaja apa yang diajar.

“Saya tak ada fikir hal lain sebab itu saya kurang kontroversi. AF tak ajar cara nak buat kontroversi, dalam masa 10 tahun saya tak ada kontroversi, saya asyik bagi lagu saja,” ujarnya.

Malah, suami kepada pengarah muzik, Genervie Kam itu turut menekankan tentang prinsipnya sebagai anak seni yang tidak mengejar sensasi atau populariti berasaskan kontroversi selain fokus utama kepada bidang nyanyian.

“Ilmu di AF itu saja bekalan saya sebagai fokus utama. Saya tak kejar perhatian umum dan kontroversi. Kalau politik hal itu dikejar kerana diperlukan, tapi saya tak ajar diri dan peminat saya untuk cari kontroversi.

“Mereka yang keluarkan lagu dengan kontroversi dengan orang hasilkan lagu bersama kualiti, lagu kontroversi mampu bertahan tiga bulan sahaja.

“Selepas itu hilang terus dan saya perasaan artis yang fokus pada kualiti bertahan. Apabila tanam dalam diri fokus kualiti, aspek itu boleh kekal selamanya dalam diri,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok