‘Tak payah rakam gambar anak saya, dia bukan artis’

PRIVASI seakan diceroboh, pelakon Puteri Aishah menzahirkan rasa kurang senang terhadap sikap segelintir pihak yang merakam gambar anak sulungnya, Muhammad Faliq tanpa sebarang keizinan.

Ujar Puteri Aishah atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman, 31, dia tidak menolak untuk bergambar bersama peminat, namun menganggap anak kecilnya tidak seharusnya dijadikan tumpuan kamera apatah lagi oleh orang asing.

Tak payah lah, ambil gambar dengan saya sudah. Dengan Faliq buat apa. Dia bukan artis pun, dia budak yang tak kenal dunia lagi.

“Sejujurnya, saya tak berapa minat orang nak ambil gambar anak saya tanpa kebenaran saya.

Maksud saya, ‘strangers’ lah. Lagi-lagi kalau jenis pakai flash, terkejut mata anak saya,” tulisnya dalam Instagram bagi menjawab permintaan peminat yang ingin bergambar dengan anaknya.

Mengimbas kembali detik awal menjadi ibu, pelakon filem Pulang itu pernah membenarkan orang merakam wajah anaknya kerana kekok dan belum tahu untuk bertindak tegas.

Pun begitu, dia merasakan perkara tersebut tidak wajar dinormalisasikan dek bimbang akan keselesaan dan keselamatan anak kesayangannya itu.

Ada satu masa tu, orang datang nak ambil gambar anak saya saja. Masa tu saya blur sebab baru jadi ibu. Jadi saya benarkan.

“Tapi bila fikir balik, rasa macam tak okey pula,” jelasnya.

Sementara itu, rata-rata netizen menyokong ketegasan Puteri dan menyifatkan setiap ibu bapa berhak menjaga sempadan privasi anak mereka.

“Betul tu, bukan semua ibu bapa selesa orang asing ambil gambar anak kecil mereka sesuka hati,” komen seorang pengguna media sosial.

Kadang orang anggap anak artis tu public figure juga. Padahal budak kecil tu tak tahu apa pun. Hormatlah sikit,” ujar netizen lain.

“Anak tu amanah, bukan untuk dikongsi sesuka hati. Setiap ibu pasti nak lindungi anak mereka,” kata seorang lagi peminat.

Untuk rekod, Puteri Aishah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus pada November 2021.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Faliq yang kini berusia dua tahun. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok