SELEPAS berkongsi berita kelahiran bayi perempuan, isteri kepada pelawak Shuk Sahar, Fara Salleh mengingatkan mentuanya agar lebih bertimbang rasa terhadap cucu baharu mereka.
Secara sinis dia bertanya sama ada ibu bapa kepada suaminya itu mahu melakukan tindakan serupa seperti anak mereka yang tidak mempedulikan darah daging sendiri.
Encik Sahar dan Puan Ainun, saya dah selamat lahirkan cucu awak. Nama dia Elaine Nada. Perut saya kena siat tujuh lapis nak keluarkan cucu awak, tak nak datang tengok ke?
“Anak awak mana Encik Sahar? Dia tak nak tengok ke? Cakap dengan anak awak, tak payah risau bab barang anak semua saya uruskan, tak ada satu pun dia uruskan.
“Saya bersalin pun sendiri jangan risau tak ada yang saya nak susahkan anak awak Encik Sahar cuma minta berhati perut sikit,” tulisnya di Insta Story.
Menerusi hantaran lain, wanita terbabit meminta mentuanya jangan risaukan harta benda mereka kerana dia dan keluarga masih mampu membesarkan sendiri puteri yang dilahirkan pada 26 Jun lalu itu.
Katanya, dia tidak pernah terfikir mahu menuntut sebarang harta keluarga mentua untuk anaknya namun berpesan supaya Shuk menghadiri panggilan kedua kes perbicaraan Mahkamah Syariah Segamat, Johor pada 5 Ogos depan.
Harta awak, awak simpan. Jangan risau, saya dan Elaine tak tamak harta macam ‘mereka’, kami cuma nak urusan mahkamah kami selesai saja.
“Walaupun Elaine lahir dengan serba kekurangan, tapi dia kaya kasih sayang. Saya mak dia dan saya ayah dia. Dia baik dan tak pernah meminta lebih,” katanya lagi.
Bagai meluahkan segala-gala yang terbuku di hati, Fara juga mengimbau pengorbanan yang pernah dilakukan sepanjang bergelar menantu keluarga itu.
Masa saya jadi menantu awak dulu siapa yang tolong masa awak sakit? Siapa yang tunggu berjam-jam dekat hospital uruskan awak? Siapa yang tolak kerusi roda awak?
“Kalau saya tahulah kalian ini perangai macam ini, baik saya tolak sahaja kerusi roda itu ke sungai, teruk keluarga kalian. Semoga saya tak gagal jadi ibu bapa macam kalian,” ujarnya.
Semalam Fara berkongsi berita gembira selamat melahirkan permata hati secara pembedahan sekali gus menzahirkan rasa bangga terhadap dirinya yang melalui keseluruhan proses kehamilan dan kelahiran bersendirian tanpa kehadiran suami di sisi.
Kemelut rumah tangga mereka yang belum pun setahun menjadi tumpuan ramai apabila Shuk didakwa melafaz cerai talak satu terhadapnya menerusi panggilan telefon ketika pelawak itu dipercayai berada di Thailand pada April lalu.
Fara dan Shuk, 38, mendirikan rumah tangga pada November 2023 dan ini merupakan perkahwinan kedua pelawak itu.
Terdahulu, Shuk pernah berkahwin dengan Rossa Sera pada 2015, namun bercerai pada 2023 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata Nur Qurratu Ain, 7, dan Nur Assyifatu Aimi, 5. – HIBGLAM