‘Mama tak pernah buat saya rasa kecil’

USAHAWAN selebriti Neelofa menzahirkan penghargaan penuh kasih terhadap ibunya,  Datin Noor Kartini sempena ulang tahun kelahiran wanita kesayangannya itu yang ke-59, hari ini.

Ujar Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, ibunya bukan sekadar insan melahirkannya, malah teman sejati yang sentiasa menjadi nadi kehidupannya sejak kecil.

“Sepanjang membesar, mama bukan sekadar ibu tetapi juga sahabat baik saya. Ke mana sahaja mama pergi, saya ikut.

“Sampai waktu mama tidur pun, saya duduk sebelah sambil siapkan kerja sekolah. Waktu itu, dunia dan impian saya cuma satu, nak jadi versi terbaik untuk mama,” tulisnya menerusi hantaran dalam Instagram.

Mengimbas zaman remajanya, bekas pengacara MeleTOP itu berkata, meskipun mula berdikari ketika melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), doa ibunya tetap menjadi penguat semangat dalam setiap langkahnya.

“Mama tak pernah gagal mendoakan saya. Dari dulu sampai sekarang, mama tetap penyokong nombor satu.

“Selalu tanya tentang minat saya dan beri pandangan dengan penuh kasih sayang,” ujarnya.

Dalam hantaran sama, isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail itu menyifatkan segala kejayaan dikecapi hari ini berpunca daripada restu dan pengorbanan ibunya yang tidak pernah berkira sejak awal.

“Mama tak pernah buat saya rasa kecil, malah beri keyakinan dan buat saya rasa dihargai.

“Seorang ibu yang sentiasa bekerja keras dan beri yang terbaik, bukan untuk diri sendiri je, tapi untuk kami sekeluarga.

“Sejak dulu, mama pesan ‘belajar sungguh-sungguh’. Saya tahu, kejayaan hari ini datang daripada doa dan pengorbanan mama dalam diam, dengan izin Allah,” luahnya.

Pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu turut menzahirkan rasa syukur kerana memiliki ibu sekuat Noor Kartini dalam hidupnya selain turut mendoakannya agar dipanjangkan usia dan sentiasa berada dalam lindungan Allah.

“Terima kasih sebab jadi ‘rumah’ saya. Saya syukur sangat pada Allah kerana menghadirkan mama dalam hidup saya.

“Terima kasih sebab jadi suara yang tak pernah putus asa untuk saya. Terima kasih atas kekuatan dan doa mama yang tiada penghujungnya.

“Saya akan sayang mama sampai bila-bila. Selamat Hari Lahir. Moga Allah panjangkan umur dalam rahmat-Nya, tenangkan hati sentiasa, murahkan rezeki dari arah yang tak disangka, dan dekatkan mama dengan syurga, setiap hari,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok