FFM34 perkenal kategori Lagak Ngeri Terbaik

FESTIVAL Filem Malaysia ke-34 (FFM34) mencatat sejarah tersendiri apabila memperkenalkan satu kategori baharu, Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik sebagai penghormatan kepada penggiat seni aksi tanah air.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pengiktirafan itu diberikan buat pelakon aksi serta tenaga produksi yang sering mempertaruhkan nyawa demi menjayakan adegan berisiko tinggi dalam sesebuah karya.
“Sukacita saya umumkan bahawa FFM34 bakal menyaksikan penambahan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik.
Penghargaan ini khusus buat insan-insan di sebalik babak lasak. Keberanian dan profesionalisme mereka wajar diraikan,” katanya ketika ditemui pada sidang media FFM34 di sini, hari ini.
Tambah beliau, lonjakan penghasilan filem aksi tempatan membuktikan mutu penerbitan dalam negara bukan sahaja meningkat dari segi teknikal malah berjaya menambat hati penonton.
Kejayaan filem-filem aksi kebelakangan ini menunjukkan nilai tontonan tinggi dan kualiti produksi yang semakin baik.
“Kategori ini diwujudkan bagi meraikan semangat luar biasa pelakon lagak ngeri dan pasukan teknikal yang menjadi nadi adegan paling mencabar,” ujarnya
Pemenang bakal menerima trofi khas bersama wang tunai RM5,000 sebagai simbol pengiktirafan atas dedikasi mereka.
Sementara itu, Pengarah FFM34, Raja Mohammad Adhzim Raja Ahmad mengumumkan sebanyak 30 kategori dipertandingkan tahun ini, dengan penyertaan dibuka bermula 8 hingga 18 Julai ini.
“Kami menjemput semua karya tempatan yang diterbitkan antara 1 Julai 2024 hingga 30 Jun tahun ini untuk menghantar penyertaan dalam mana-mana kategori yang sesuai,” jelasnya.
FFM34 akan berlangsung pada 8 November ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.
Acara prestij itu dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan disiarkan secara langsung ke seluruh negara.
Mengangkat tema ‘Karya Kreatif, Sinema Dinamik’, festival tahun ini meraikan kepelbagaian pendekatan bercerita dan keberanian menjelajah sempadan seni visual.
Tema tersebut menurut penganjur, mencerminkan sinema sebagai cerminan denyut nadi masyarakat moden yang bergerak selari dengan teknologi dan realiti sosial semasa. – HIBGLAM
Senarai penuh 30 kategori yang dipertandingkan dalam FFM34: 
1.Filem Terbaik
2.Pengarah Terbaik
3.Pelakon Lelaki Terbaik
4.Pelakon Wanita Terbaik
5.Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
6.Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
7.Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
8.Pengarah Harapan
9.Pelakon Lelaki Harapan
10.Pelakon Wanita Harapan
11.Cerita Asal Terbaik
12.Lakon Layar Terbaik
13.Sinematografi Terbaik
14.Penyunting Terbaik
15.Penataan Bunyi Terbaik
16.Penataan Seni Terbaik
17.Kesan Khas Visual Terbaik
18.Skor Muzik Terbaik
19.Lagu Tema Terbaik
20.Tatarias/Solekan Terbaik
21.Rekaan Kostum/Busana Terbaik
22.Poster Terbaik
23.Filem Pendek Terbaik
24.Dokumentari Terbaik
25.Anugerah Khas Karyawan
26.Anugerah Khas Sepanjang Zaman
27.Anugerah Khas Juri 1
28.Anugerah Khas Juri 2
29.Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik
30.Anugerah Khas Filem Box Office
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok