KETIKA masih bergelut dengan isu rumah tangga, isteri kepada pelawak Shuk Sahar iaitu Fara Salleh selamat melahirkan bayi perempuan secara pembedahan pada 26 Jun lalu.
Berkongsi berita gembira, Fara, 33, berkata anak sulungnya yang dilahirkan dengan berat 2.1 kilogram (kg) itu diberi nama Elaine Nada.
Assalamualaikum semua, saya dah selamat bersalin pada 26 Jun lalu pada pukul 6.10 petang.
“Alhamdulillah Elaine Nada nama seindah orangnya,” katanya dalam Instagram hari ini.
Fara turut menzahirkan rasa syukur kerana mampu mengharungi fasa hamil dan melahirkan puteri sulungnya tanpa ditemani suami di sisi.
“Saya dan Elaine berjaya melalui fasa mengandung dan melahirkan anak sendirian tanpa ada bayang seorang lelaki.
Hebatnya Fara dan kucing saya iaitu Tiger pergi (mati) dua hari selepas saya bersalin, binatang pun faham dan sanggup teman sampai saya selamat bersalin.
“Doakan semoga Elaine Nada membesar dengan sihat,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, Fara turut berkongsi pengalamannya yang pertama kali melahirkan anak termasuk mengambil suntikan epidural.
“Disuntik epidural, sakit sangat dan siapa cakap epidural jalan pintas untuk tak rasa sakit? Disebabkan tiada bukaan, doktor lakukan pembedahan kecemasan sebab bayi sudah lemas.
Alhamdulillah Elaine dilahirkan secara pembedahan tetapi kami berdua tak dapat bersama sebab bayi terus dimasukkan ke wad kerana jangkitan kuman dalam air ketuban.
“Kemudian, saya dimasukkan ke wad lebih kurang lima hari,” katanya lagi.
Difahamkan Shuk tidak berada bersama menemani Fara sepanjang tempoh melahirkan anak sulung mereka.
Sejak beberapa bulan lalu, Fara mengejutkan ramai apabila menyatakan kekesalan terhadap institusi perkahwinan seolah-olah memberi bayangan mengenai keberantakan rumah tangganya dengan Shuk yang belum pun mencecah setahun.
Fara juga pernah memaklumkan Shuk mendakwa zuriat yang dikandungnya itu anak haram.
Kemelut rumah tangga mereka memasuki episod baharu apabila Shuk didakwa melafaz cerai talak satu terhadap fara menerusi panggilan telefon ketika pelawak itu dipercayai berada di Thailand pada April lalu.
Fara dan Shuk, 38, mendirikan rumah tangga pada November 2023 dan ini merupakan perkahwinan kedua pelawak itu.
Terdahulu, Shuk pernah berkahwin dengan Rossa Sera pada 2015, namun bercerai pada 2023. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata Nur Qurratu Ain, 7, dan Nur Assyifatu Aimi, 5. – HIBGLAM