Wali Band ‘penyembuh’ Jiwa Kacau 2025

TIGA kali penganjuran, namun tahun ini boleh dikatakan paling luar biasa dan bikin seramai 13,000 penonton yang hadir ‘menggila’.

Begitulah gambaran penangan konsert Jiwa Kacau 2025 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 28 Jun lalu.

Meski sudah memasuki tahun ketiga, Jiwa Kacau berjaya menghimpunkan kelompok peminat setianya tersendiri. Bermula dari Stadium Melawati Shah Alam pada tahun 2023 sehingga ke Bukit Jalil, sambutan peminat tidak pernah mengecewakan.

Jika dibandingkan dua konsert terdahulu, tahun ini mungkin lebih besar bajet kerana ‘menerbangkan’ dua kumpulan popular Indonesia, Kerispatih dan Wali Band.

Dalam sebuah acara, macam-macam kejutan dan jenis emosi dirasai ribuan penonton yang hadir. Memang jiwa kacau!

Masakan tidak, belum sempat mood galau menonton The Lantis dan Kerispatih berakhir, adrenalin terus meroket dengan kegilaan Hujan, Spider serta Bunkface kemudian rasa insaf pula menerjah jiwa apabila Wali Band muncul di pentas.

Konsert yang berlangsung selama lebih empat jam bermula pukul 8 malam sehingga 12.30 tengah malam itu menampilkan tujuh persembahan bertenaga termasuk kejutan kemunculan Fattah Amin sebagai duta NEX selaku penganjur rasmi.

The Lantis, band baharu dari Indonesia membuka pentas dengan seleksi lagu popularnya iaitu Lampu Merah, Ambang Rindu, Santai dan Bunga Maaf. 

Ketika emosi galau masih berbekas di jiwa disebabkan The Lantis, Hujan muncul memadam segala rasa duka dengan persembahan yang tidak pernah ‘kosong’ Noh Salleh menerusi lagu Bila Aku Sudah Tiada, Kotak Hati, Rahsia Tuhan dan Aku Skandal.

Noh Salleh menghadirkan persembahan bertenaga bersama Hujan.

Kehangatan acara diteruskan band yang akan mengadakan konsert pada Oktober depan iaitu Spider.

Mempersembahkan tujuh buah lagu, Tam berjaya membuatkan ribuan penonton Gen Z turut menyanyi karya-karya popular seperti Cinta Dewa Dewi, Bila Nak Saksi dan Aladin.

Tidak menunggu lama, Fattah muncul di pentas mengejutkan ramai dengan menyanyikan lagu Tapi Bukan Aku milik Kerispatih sehingga ada peminat melaungkan namanya sebagai ‘KerisFattah’.

Meski muncul hanya beberapa minit, stadium gamat apabila hos acara, Radin memberitahu ‘rakan sekerja’ Amira Othman turut hadir menemani bagi memberi sokongan kepada Fattah di acara tersebut.

Tutup cerita tentang Fattah, pentas kembali bertukar mood apabila Kerispatih tampil membuai jiwa menerusi lagu Aku Harus Jujur, Tapi Bukan Aku, Tertatih, Bila Rasaku Ini Rasamu, Terbaik Untukmu dan Demi Cinta. 

Vokal Fandy Santoso ternyata berjaya memukau ramai dengan emosi galau. 

“Lagu Tapi Bukan Aku ini untuk mantan (bekas pasangan) kalian, doa buat mereka.

“Dikhianati dan dikecewakan, lagu Bila Rasaku Ini Rasamu istimewa buat kalian semua,” katanya yang disambung sorakan ramai.

Tidak terhenti di situ, energi penonton terus diperah tatkala Bunkface merampas pentas lagu-lagu popular mereka iaitu Malam Ini Kita Punya, Panik, Korang, Darah Muda, Situasi dan Revolusi. 

VOKALIS Bunkface, Sam ketika menggegarkan pentas Jiwa Kacau 2025

Paling dinanti-nanti ramai pastinya kemunculan Wali Band yang berjaya mengubah suasana konsert menjadi lebih ‘gila’ meski tampil dengan intro bacaan selawat.

Kehebatan Faank selaku vokalis memang tiada tandingan, dia mampu berkomunikasi dengan baik bersama penonton termasuk sempat membaca doa buat kesejahteraan bumi Palestin.

Mendendangkan lagu Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Nenekku Pahlawanku dan Aku Bukan Bang Toyib, Tobat Maksiat, Yank dan Cari Jodoh, persembahan Wali Band ibarat ‘pengubat’ kepada jiwa kacau. 

Jika diikutkan, lagu Tobat Maksiat adalah mengenai keinsafan tetapi lain pula berlaku apabila ramai melompat keriangan di bangku penonton. 

Meski jam sudah memasuki pukul 12 tengah malam, seluruh stadium bertukar menjadi sebuah pesta, begitulah penangan Wali Band yang pada awalnya ramai mempersoal pemilihan mereka untuk konsert tersebut.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok