SELEPAS memberi bayangan bakal ke Malaysia, kumpulan rock terkenal My Chemical Romance (MCR) mengesahkan Kuala Lumpur menjadi antara destinasi konsert jelajah Asia Tenggara, tahun depan.
Berita gembira dikongsikan menerusi akaun Instagram rasmi band asal Amerika Syarikat itu yang mengumumkan persembahan mega MCR akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 April 2026.
Bagaimanapun, maklumat mengenai jualan atau harga tiket bagi mengikuti konsert tersebut masih belum dimaklumkan.
Pengumuman itu sekali gus membuatkan peminat teruja memandangkan ramai sudah lama menantikan ketibaan MCR.
Kali terakhir kumpulan itu berkunjung ke negara ini adalah pada 9 Disember 2007 menerusi konsert The Black Parade Tour di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dengan banjiri lebih 10,000 penonton.
MCR merupakan kumpulan rock dari New Jersey yang diasaskan sekitar 2001 oleh vokalis dan penulis lagu, Gerard Way selain turut dianggotai Ray Toro, Frank Iero dan Mikey Way.
Antara seleksi popular mereka yang terus menjadi siulan sehingga hari ini adalah Welcome to The Black Parade, Helena, I Don’t Love You dan I’m Not Okay.
Selain Malaysia, MCR bakal singgah di Korea Selatan, Filipina, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Terdahulu, pada akhir bulan lalu orang ramai memperkatakan mengenai mesej misteri di sebuah papan iklan digital gergasi di ibu negara yang dikongsikan seorang pengguna TikTok.
Mesej itu memberi bayangan MCR akan mengadakan konsert di Malaysia menerusi satu ayat ringkas namun sarat makna di sebaliknya.
‘Malaysia, are you okay?’ itu paparan yang muncul di papan digital berkenaan sekali gus mencetuskan keterujaan peminat tegar mereka. – HIBGLAM