Rakam video Ayden, Ara Adreanna curi perhatian

GELAGAT Ara Adreanna merakam video abangnya, Ayden Adrean yang sedang ditemu bual media di acara 113 International Triathlon Desaru Malaysia semalam mencuri perhatian ramai.

Anak perempuan kepada pelakon dan penyanyi Bella Astillah itu tekun merakam detik abang sulungnya yang merupakan peserta termuda acara tersebut dan momen manis itu turut dikongsi Syed Saddiq menerusi Insta Story.

“Ara yang baru sahaja berumur 6 tahun sedang merakam video ini. Dia pasti telah terinspirasi oleh abangnya.

“Juara sebenar hari ini Ayden yang baru sahaja berusia 8 tahun sudah menyertai perlumbaan triathlon pertamanya selepas dua bulan berlatih. Menjawab soalan temu bual dengan bergaya dan penuh keyakinan,” katanya.

Terdahulu, HibGlam melaporkan kehadiran Bella Astillah atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabella Astillah, 31, turut menarik perhatian ramai apabila dilihat memberi sokongan penuh kepada anak sulungnya, Ayden yang menyertai acara berkenaan buat kali pertama.

Syed Saddiq juga dilihat sentiasa berada di sisi Bella sepanjang acara sebagai tanda sokongan moral buat Ayden yang disifatkan sebagai berani dan bersemangat tinggi meskipun masih muda.

Selain Ayden, pelantun lagu Lebih Indah Terpisah itu turut dikurniakan anak perempuan iaitu Ara Adreanna, hasil perkahwinan dengan pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016.

Bella dan Aliff bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah, namun berpisah buat kali kedua pada 13 Jun tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok