48
PEMPENGARUH Ryzal Ibrahim memohon maaf secara terbuka susulan tindakannya meletakkan senaskhah al-Quran di tempat yang tidak sepatutnya dalam sebuah video Instagram baru-baru ini.
Ryzal berkata, dia terpanggil untuk meminta maaf selepas ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri dengan perdebatan netizen.
“Saya tengok ramai bertengkar dalam ruangan komen hantaran itu. Saya mohon maaf atas kekhilafan dalam video tu.
“Semua nampak saya memang tak sengaja letak al-Quran atas sejadah sebab kelam-kabut rehal patah. Tak sedar pula Rina datang dari belakang dan terlanggar.
“Saya nampak dan terus angkat semula al-Quran itu dan tak biarkan atas sejadah,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Jelasnya, video tersebut dimuat naik hanya untuk berkongsi momen anak perempuannya, Rina menangis disebabkan rehal patah.
“Tujuan asal saya muat naik video itu kerana Rina menangis rehalnya patah dan tak perasan langsung kesilapan tersebut.
“Kalau saya tak tahu adab menjaga mashaf, mustahil saya baca, kongsi dengan anak isteri dan letak atas rehal.
“Bila terjadinya rehal patah, lagi-lagi rehal kesayangan anak, mestilah rasa bersalah dan kelam-kabut.
“Maka tak sengaja saya terletak atas sejadah (bukan lantai) sementara mencari rehal lain. Seandainya itu mengguris hati ramai, maafkan insan lemah ini,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, Ryzal memberitahu netizen seharusnya menjaga adab sesama manusia dan tidak perlu melemparkan kata-kata netizen sebaliknya teguran boleh diberikan dengan baik.
“Kalau kita melihat kekhilafan orang, tegurlah dengan baik.
“Tidak perlu makian, kata kesat, tuduh itu ini, seolah-olah saya merendahkan keagungan Mushaf itu.
“Saya bukanlah sempurna, masih banyak perlu belajar. Berilah teguran baik dan bukan cacian,” katanya lagi.
Terdahulu, Ryzal berkongsi sebuah video memaparkan cubaan dirinya memujuk Rina yang sedang menangis selepas rehal kesayangannya patah.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai komen daripada netizen yang rata-ratanya menegur tindakan Ryzal meletakkan al-Quran di atas sejadah. – HIBGLAM