BUAT julung kalinya, pasukan produksi filem tempatan menerima penghormatan diraja apabila Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menerima menghadap barisan pengarah dan pelakon Impak Maksima 2 dalam satu majlis khas sempena siri promosi filem tersebut di bahagian utara Semenanjung, semalam.
Menurut Screen Studio Sdn. Bhd, kunjungan Impak Maksima 2 diketuai oleh pengarahnya, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri bersama barisan pelakon utama termasuk Arfie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli dan Riezman Khuzaimi serta beberapa kru produksi lain.
Pihak produksi turut menyifatkan kunjungan menghadap tersebut sebagai satu penghormatan besar dan pengalaman yang luar biasa yang jarang diperoleh mana-mana pasukan produksi filem tanah air.
Seluruh pasukan promosi berasa sangat berbangga kerana ini bukan sesuatu perkara yang biasa berlaku bagi mana-mana pasukan promosi filem,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Majlis istiadat yang berlangsung di Istana Arau itu turut diserikan dengan keberangkatan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir sama dalam sesi delegasi tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.
“Mewakili pasukan Impak Maksima 2 sangat berbesar hati dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli-Duli Tuanku di atas layanan yang sangat istimewa sepanjang majlis tersebut,” katanya.
Rombongan tersebut kini dalam sesi jelajah promosi bermula 4 hingga 6 Julai ini di Kedah dan Pulau Pinang, yang turut melibatkan program santai bersama para peminat iaitu Santai Anak Utara di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar serta Auto City Carnival di Juru, Pulau Pinang.
Filem Impak Maksima 2 dijadualkan bakal ditayangkan di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 17 Julai ini. – HIBGLAM