DITEGUR selepas memuat naik carta pelaburan berbentuk ‘candlestick’, pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim tampil menjernihkan keadaan selain menegaskan dirinya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti seperti Forex.
Menurut Fikry atau nama sebenarnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim 31, carta dikongsi bukan berkait pertukaran mata wang asing, sebaliknya merupakan paparan pergerakan pasaran saham yang diikuti secara kecil-kecilan.
“Semalam saya kongsi carta ada candle tu. Ada orang komen, ‘abang, Forex itu haram’.
“Kalian, terima kasih atas peringatan tapi jangan risau. Saya tak main Forex pun. Itu adalah saham,” katanya dalam TikTok.
Tambah pelakon drama Lara Kasih itu, pelaburan saham menjadi salah satu sumber pendapatan pasif terutama ketika tidak aktif dalam dunia seni.
“Kalau duduk di rumah, tak banyak job (kerja), inilah cara saya jana pendapatan pasif.
“Insya-Allah, saham ini boleh jadi rezeki tambahan buat sesiapa yang rajin belajar,” ujarnya.
Pun begitu, pengacara program Melodi itu berkata, pelaburan bukan perkara boleh dibuat secara semberono sebaliknya perlu menuntut ilmu dan pemahaman yang mendalam sebelum terlibat sepenuhnya.
“Perkara macam ni kena ada ilmu. Kalau tak belajar, memang boleh rugi dan silap langkah,” katanya.
Rata-rata netizen memuji ketenangan Fikry menjawab teguran secara terbuka tanpa menyindir atau membidas semula pihak terbabit. – HIBGLAM.