‘Dulu semua benda buat sendiri, sekarang saya macam puteri’

KALAU dulu terpaksa berdiri sendiri, kini penyanyi Shila Amzah mengakui hidupnya berubah menjadi lebih manis dan bahagia sejak bergelar isteri kepada pempengaruh Ubai MZ.

Melalui pelbagai episod duka dalam kehidupan silam, Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 34, berkata, kehadiran Ubai mengajarnya untuk kembali menikmati sisi kewanitaan yang pernah lama hilang.

“Saya tak pernah dapat rasa hidup dalam tenaga feminin. Sebelum ini saya hidup dalam tenaga maskulin, semua benda saya buat sendiri.

“Tapi sejak ada Ubai, saya rasa seperti seorang puteri. Dia buat saya rasa dihargai sebagai wanita. Itu membuat saya suka dengan hidup yang sekarang,” katanya menerusi video dalam TikTok.

Tambah pelantun lagu Masih Ada Cinta itu, hubungan mereka terbina atas komunikasi terbuka dan saling kepercayaan tanpa perlu menyemak telefon atau berahsia soal kewangan.

Alhamdulillah, setakat ini tiada masalah komunikasi antara kami. Password akaun bank pun kami kongsi sama-sama.

“Kami percaya dan tahu batas masing-masing. Tak perlu periksa telefon sebab kami faham peranan dan tanggungjawab sebagai suami isteri,” ujarnya.

Paling penting kata ibu dua anak itu, kepercayaan menjadi kunci utama agar rumah tangga terus harmoni walaupun kedua-duanya aktif dalam dunia hiburan.

“Ubai pun kerja dalam industri hiburan. Dia tahu apa batas bila berurusan dengan wanita lain. Saya pun sama. Tak perlu dibincang pun.

“Kalau tak tahu jaga batas, memang bahaya untuk rumah tangga,” jelasnya.

Untuk rekod, Shila dan Ubai atau Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli , 27, mendirikan rumah tangga pada Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira.

Shila juga mempunyai seorang anak lelaki, Seth Uwais hasil perkahwinan terdahulu bersama Haris Edraki. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok