DALAM usia seni yang masih setahun jagung, aura jejaka bernama Muaz Zabir sudah membahang laksana bara bersimba api. Daripada sekadar pendatang baharu yang merangkak mencari nama, auranya kini mudah menyerlahkan pesona.
Semuanya bermula saat namanya terkait kontroversi panas bersama pelakon Bella Astillah, yang ketika itu masih berstatus isteri orang dan belum mencetus fenomena hangat bersama ahli politik muda, Syed Saddiq.
Begitulah penangan sebuah kontroversi, tidak kira manis atau kelat, tetap mengangkat seseorang ke puncak perhatian.
Mahu tidak mahu, perumpamaan ‘bad controversy is still good publicity’ menjadi pelaris buat pemilik nama sebenar Muaz Mohamad Zabir.
Popularitinya mencanak, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam industri.
Seolah-olah bijak menyusun langkah, dia kini menjadi antara pelakon baharu yang banyak menghiasi slot utama naskhah televisyen, jauh mendahului rakan seangkatan yang masih bertatih mengintai peluang.
Namun, langkah berani tidak boleh selamanya bersandarkan kontroversi. Andai silap percaturan, pemuja boleh berubah menjadi pembenci.
Barangkali atas faktor itu, Muaz semakin berwaspada setiap kali bergandingan dengan pelakon wanita, bagi mengelakkan dirinya daripada tenggelam dalam kasus cinta lokasi.
Apabila bergandingan dengan mana-mana regu lakon wanita, saya memang sedaya upaya cuba elak daripada terjebak cinta lokasi.
“Sebab saya tahu, cinta lokasi biasanya tak lama, sebulan saja sudah habis. Jadi, lebih baik kita fokus kerja dan elakkan perkara yang boleh mengganggu reputasi,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya sama ada dia pernah menjalani hubungan cinta lokasi sebelum ini, pelakon berusia 28 tahun itu menafikan, namun dalam masa mengakui pernah melalui fasa ‘berkawan rapat’ yang menimbulkan spekulasi.
“Jujurnya, saya memang tiada pengalaman bercinta di lokasi. Sekadar buat kerja saya dan fokuskan diri dengan penyampaian watak agar lebih berkesan ke hati penonton.
“Saya bukan serik bercinta, cuma nak jadi versi diri lebih baik, matang dan bijak dalam soal perasaan. Apa yang pernah berlaku sebelum ini, cukuplah menjadi pengajaran,” jelasnya.
Mengulas gosip terbaharu mengaitkan dirinya dengan regu lakon, Arabella Ellen dalam drama Mitos Cinta Akira, Muaz menganggap itu satu pujian terhadap lakonan mereka.
“Saya bersyukur kalau orang kaitkan kami atas lakonan, maksudnya gandingan kami berjaya.
Cerita itu pun tentang cinta monyet zaman sekolah. Kalau orang kata kami betul-betul bercinta, itu tak betul. Kami sangat profesional di lokasi,” jelasnya.
“Saya tak nafikan ada juga cinta lokasi yang berjaya sampai ke jenjang pelamin. Tapi untuk saya, mungkin tidak,” tutupnya.
Selain Muaz dan Arabella, Mitos Cinta Akira turut menampilkan Areef Amran dan Haneesya Hanee.
Mula ditayangkan menerusi platform Viu sejak 26 Jun lalu, naskhah berkenaan menerima sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan peminat, terutama orang muda. – HIBGLAM