‘Terkesan tapi saya akan kembali lebih kuat’

SEJAK jumlah kutipan filem berbajet besar Astro Shaw, Keluang Man didedahkan, ramai yang terkejut dengan angka tersebut.

Keluang Man dikatakan naskhah yang gagal menawan hati rakyat Malaysia biarpun promosi yang ditabur terhadap filem berkenaan berskala mewah.

Satu demi satu teori dilontarkan netizen tentang situasi filem kurang bernasib baik tersebut diperdebatkan berbanding filem lokal yang lain. Lagak mereka mengalahkan Sherlock Holmes tatkala melontarkan pendapat berserta hipotesis masing-masing.

Antara sebab filem arahan Anwari Ashraf tersebut dikatakan gagal menambat hati rakyat Malaysia pergi terbang tinggi di pawagam adalah disebabkan peranan utama yang digalas Nas-T.

Hujah mereka, nama aktor yang mesra disapa Nas-T itu belum cukup besar untuk menggalas sebuah watak ikonik bagi rakyat Malaysia. Disarankan pula pelakon A, B dan C. Kata mereka lagi, jika pelakon-pelakon saranan netizen itu yang memegang watak Keluang Man, pasti filem tersebut akan mendapat sambutan hebat.

NAS-T berharap peminat filem tidak menghakimi berdasarkan reviu netizen tanpa menonton sendiri naskhah Keluang Man jika berkesempatan. – SOLEKAN: EL MANDA ZUHAIRY

Hukuman demi hukuman terus dijatuhkan khalayak tanpa belas kasihan, jauh sekali empati memikirkan segala usaha yang ditumpah setiap individu terbabit di belakang tabir.

HibGlam minggu ini mendasari lubuk rasa bintang utama Keluang Man untuk merungkai tentang segala perasan yang terbuku di hatinya.

Pada hari sesi fotografi dan pertemuan yang dirancang, Nas-T hadir berwajah ceria. Di tubuh kekarnya masih bersalut kemas baju-T rasmi tertera gah nama adiwira Keluang Man.

Ternyata, dia masih membawa semangat Keluang Man biarpun sudah sebulan filem berkenaan ditayangkan. Di dadanya masih berkepak aura sang hero yang pernah dipuja ramai.

Seberapa dalam cinta Nas-T terhadap watak Keluang Man, itu soalan pertama penulis ke mukanya. Nas tersenyum sambil menghirup nafas tenang.

“Sangat dalam. Keluang Man sebahagian daripada diri saya. Saya memikul tanggungjawab besar menjadi Keluang Man. Watak sebegini anda hanya akan dapat sekali dalam seumur hidup.

Walaupun filem ini hampir di penghujung tayangan, tetapi saya rasa masih perlu menjaga nama Keluang Man. Biarpun selepas ini saya akan bawa watak lain, tetapi Keluang Man masih paling dekat di hati. Saya rasa saya akan terus bercakap tentang Keluang Man sampai bila-bila,” katanya.

Disebabkan cinta mendalam terhadap watak berkenaan, Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasryddin, 42, akan memastikan sentiasa menjaga keperibadian mencuba mengelak diri daripada terpalit kontroversi.

Saya perlu jaga nama baik Keluang Man. Saya akan elakkan sebarang jenis kontroversi. Kalau ada apa-apa yang boleh menggugat nama Keluang Man, sudah tentu saya akan pertahankan,” ujarnya.

Ditanya, sejauh kritikan netizen menerjang akal jiwa, termasuklah yang menyalahkan pemilihannya sebagai pelakon utama, jawab Nas-T, sebagai manusia biasa yang punya hati dan perasaan, dia juga terkesan.

Bohonglah kalau saya cakap tidak terkesan. Sedikit sebanyak saya turut terkesan. Tetapi dalam masa sama, saya reda dan terima kerana ini adalah rezeki yang tertulis. Sebagai pelakon, saya sudah buat dengan terbaik. Saya puas hati dengan lakonan sendiri dan terima segala kritikan.

“Kalau nak kata saya punca filem ini kurang dapat sambutan, tetapi filem sebelum ini, Air Force mendapat kutipan RM30 juta. Gred seseorang pelakon belum tentu dapat menjamin kutipan Box- Office.

Jadi macam mana kita nak kaitkan pemilihan pelakon sebagai penentu kejayaan sesebuah filem.

“Sama seperti ketika membintangi drama KAMI dahulu. Semua pelakon dalam drama itu masih baru, termasuklah Beto

Kusyairy dan Zahiril Adzim. Namun, drama itu berjaya mendapat sambutan sehingga diterbitkan versi filem. Apa yang boleh saya katakan, sambutan penonton sukar dijangka.

“Apa yang terjadi, sama sekali tidak akan mematahkan semangat saya. We will come back stronger than ever. Kita tak akan biarkan situasi ini menjadi batu penghalang, sebaliknya batu loncatan untuk lebih baik pada masa akan datang,” jelasnya.

Peluang kedua

Biarpun filem Keluang Man kurang mendapat sambutan , Nas-T tetap bersyukur apabila masih diberikan peluang oleh Astro Shaw untuk mengemudi watak Borhan dalam drama bersiri Keluang Man yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

BERTANGGUNGJAWAB menjaga nama baik Keluang Man, Nas-T mahu mengelak terpalit sebarang kontroversi. – PENATA GAYA: HELMI ANUAR Anuar

Ujarnya, peluang ini akan digunakan sebalik mungkin untuk penambahbaikan lakonannya.

“Saya sangat bersyukur kerana masih diberikan kepercayaan membawa watak Borhan dalam Keluang Man The Series serta sekuel Keluang Man.

Saya yakin pihak produksi telah melakukan ‘post-morterm’ dan mengenal pasti segala penambahbaikan yang perlu untuk kesinambungan Keluang Man.

“Menerusi drama bersiri kelak, khalayak terutamanya Gen-Z dapat menonton dengan lebih dekat watak Keluang Man itu sendiri.

Mungkin sekarang belum ramai yang menonton, tetapi apabila mereka tonton filem ini dalam platform penstriman, saya pasti mereka akan jatuh cinta dengan Keluang Man,” kongsinya.

Terharu

Tiada rajuk tidak terpuruk rasa, di situlah fasa kematangan seorang aktor sedang diredah Nas-T dengan penuh rasional.

Ujar Nas-T, di sebalik kecaman yang diterima masih ada peminat yang menghargai lakonannya.

“Sewaktu saya ke sesi jelajah promosi filem, ada ramai peminat dalam kalangan kanak-kanak dan Gen-Z menyukai filem ini.

Rata-rata yang saya jumpa beri maklum balas positif. Bila dengar komen begitu, rasa terubat dan bersemangat. Paling tersentuh, bila ada yang berkata mereka tidak nampak orang lain yang boleh bawa watak Borhan selain saya.

“Saya sangat hargai komen pengkritik yang sudah menonton, tidak kiralah positif atau negatif kerana mereka telah bayar tiket. Mereka ada hak komen, tetapi yang komen tanpa menonton, saya tak tahu nak cakap macam mana. Tak adil.

“Jika anda pencinta filem, anda tak patut biarkan reviu orang lain menghalang anda daripada menonton sendiri filem tersebut. Menonton dengan mata sendiri adalah yang terbaik untuk tentukan sama ada filem itu bagus atau tidak. Setiap orang punya selera berlainan,” jelasnya.

PERNAH terfikir untuk menamatkan karier lakonan, Nas-T bersyukur isteri dan keluarga banyak memberi dorongan agar dia terus berkarya dan tidak sesekali berputus asa. – PAKAIAN: SVG WORLDWIDE

Ditanya adakah dia membaca segala kritikan dalam media sosial, kata Nas-T biarpun dihalang berbuat demikian, namun hatinya tetapi ingin tahu maklum balas penonton dan netizen.

Pengurusan beritahu jangan baca, tapi saya tahu, saya boleh terima . Jadi saya baca sahaja. Perlu tahu di mana kedudukan saya.

“Kritikan yang membina kita ambil, yang tidak berasas kita abaikan.

Biarpun sakit, tetapi tak mengapa kerana pada masa depan, perkara sebegini berguna untuk perbaiki mutu lakonan,” katanya.

Hampir putus asa

Dari sisi berbeza, perjalanan karier Nas-T sebenarnya penuh ranjau. Dia pernah mencipta gelombang tersendiri pada awal karier saat drama bersiri KAMI dan filem KAMI The Movie mencipta ledakan.

Namun seketika kemudian, kariernya agak malap selain terikat dengan watak stereotaip sehingga menjadi kurang menyerlah.

Kongsi suami kepada pempengaruh Atita Haris itu, dia pernah hampir putus asa dalam bidang lakonan dan mahu meletakkan noktah terhadap kerjaya yang dicintai itu.

Pernah satu ketika saya langsung tiada tawaran lakonan selama enam bulan. Ketika itu saya nekad mahu ucapkan selamat tinggal, namun keluarga dan isteri banyak beri semangat agar terus kuat.

“Disebabkan sering ditawarkan watak serupa saya rasa tidak berkembang. Ada juga saya tolak beberapa tawaran kerana muak bawa watak sama.

Tetapi ada hikmahnya juga bila saya lama tidak berlakon. Ramai penerbit dan pengarah lupa watak stereotaip yang saya sering bawakan.

“Mereka mula tawarkan watak yang berlainan, antaranya sebagai petugas badan beruniform yang selama ini tidak pernah saya jayakan

“Saya sangat berterima kasih kepada keluarga dan isteri kerana menjadi ‘support system’ sehingga ke hari ini. Dalam situasi sekarang pun mereka masih tidak henti-henti memberikan sokongan,” ujarnya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok