DI pentas atau di hadapan kamera, idola K-Pop dihujani pujian berikutan bakat nyanyian serta tarian mereka yang luar biasa.
Hakikatnya selain berkebolehan dalam arena seni, ada beberapa selebriti Korea mahir menulis sehingga menerbitkan buku sendiri.
Sama ada dalam bentuk autobiografi atau puisi, naskhah tersebut membuktikan mereka lebih daripada sekadar penghibur.
HibGlam kali ini menyenaraikan beberapa idola K-Pop yang menulis dan menerbitkan buku mereka sendiri.
Lee Hyori
PENYANYI Lee Hyori melancarkan sebuah buku pada 2012 yang berjudul Closer: The Story Behind Hyori’s Diary.
Dalam buku berkenaan, wanita berusia 46 tahun itu berkongsi kehidupan seharian, pandangan tentang feminism, dunia hiburan dan perjuangannya menjaga alam sekitar serta haiwan jalanan.
Tidak seperti buku biasa, dia menyampaikan dalam bentuk catatan jurnal yang sangat peribadi khas buat peminat.
Jessica Jung
SEJAK 2020, penyanyi Jessica Jung aktif menghasilkan novel genre fiksyen remaja.
Novel pertamanya berjudul Shine merupakan semi-autobiografi mengenai seorang gadis Korea-Amerika yang bercita-cita menjadi idola ramai.
Buku tersebut memberikan gambaran dalaman mengenai kehidupan trainee (individu menjalani latihan intensif di bawah agensi hiburan)berdepan tekanan industri hiburan selain kisah cinta rahsia.
Dua tahun kemudian, bekas ahli kumpulan Girls’ Generation itu melancarkan novel sekuel, Bright sebagai susulan kisah protagonis terbabit.
Tablo Epik High
PENYANYI Tablo merupakan antara idola terawal yang menyerlahkan potensi sebagai penulis.
Melancarkan buku Pieces Of You pada 2009, karya tersebut menghimpunkan 10 cerpen pendek hasil ilhamnya.
Lebih istimewa, pemilik nama asal Daniel Armand Lee itu menulis buku terbabit ketika menuntut di Standford University.
Bagaimanapun, penerbitan buku tersebut pernah mencetuskan kontroversi apabila netizen mempertikai kelayakan akademiknya.
Sooyoung
MESKIPUN penyanyi Sooyoung belum mempunyai koleksi puisi atau buku komersial secara rasmi, minatnya terhadap penulisan sudah lama tercetus.
Pemilik nama lengkap Choi Soo-young, 35, itu banyak menulis puisi dan esei berjudul Memories Of A Song sebagai terapi dan merancang menerbitkan koleksi tulisannya.
Pelantun lagu Gee itu pernah berkongsi dalam satu temu bual, beliau gemar membaca puisi dan falsafah termasuk karya nyata seperti Nietzsche dan Jeong Ho‑Seung semasa zaman sekolah rendah hingga menengah. – HIBGLAM