RATU Jazz, penyanyi Datuk Sheila Majid tidak pernah terfikir untuk menjalani sebarang prosedur kecantikan semata-mata mahu lebih cantik atau tampak muda.
Sheila atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, 60, berkata dia enggan mengubah rupa serta bentuk fizikal ciptaan Ilahi yang mempunyai keunikan tersendiri buat setiap insan.
“Saya tak akan buat (jalani prosedur kecantikan) sebab saya takut Tuhan. Allah dah kata jangan ubah apa yang diberikan.
“Maaf, tapi saya belum pernah tengok satu pun (hasil prosedur) yang buat saya rasa ‘wah, cantiknya’ sampai saya pun terdorong nak buat.
Contohnya hidung saya ini, kalau diubah, muka saya terus berubah. Biarlah besar sikit, tapi comel kan?” katanya ketika ditemu bual program audio siar Kita Kita Aje.
Penghibur yang menjadi pujaan peminat di Indonesia itu turut menyatakan kecantikan dalaman serta keperibadian seseorang lebih penting berbanding paras rupa.
“Kadang-kadang ada orang bukanlah cantik sangat, tapi sebab dia ada adab, sopan santun dan cara pembawaan diri yang menyenangkan, cara manis, orang tetap suka tengok.
“Tapi kalau hanya cantik pada wajah tapi perangai kurang senonoh, siapa pun tak nak pandang atau dekat,” ujarnya.
Sepanjang lebih empat dekad aktif dalam arena muzik, penghibur yang cukup dikenali menerusi lagu Lagenda itu menjadi idola ramai bukan hanya kerana bakat, bahkan keperibadiannya.
Pada usia 60 tahun, kecantikan ibu kepada empat anak berusia antara 20-an sehingga 34 tahun itu juga dikagumi ramai. – HIBGLAM