Berhabis demi 30 kucing, berkebun ‘recharge’ minda

DI sebalik vokal serak basah yang terkenal dengan lagu-lagu balada penuh emosi, tersembunyi sisi penuh kasih sayang terhadap makhluk Tuhan yang sering dipandang sepi seperti kucing-kucing jalanan.

Itulah keperibadian penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan yang sentiasa menghargai haiwan terbiar, sekali gus menyerlahkan sifat penyayangnya.

Memelihara 30 ekor kucing di kediamannya di Jakarta, pemilik nama lengkap Cakra Konta Paryaman itu percaya setiap kucing yang hadir dalam hidupnya adalah sebahagian cara rezeki yang ditentukan buatnya.

Malah, dia sanggup memperuntukan RM6,000 sebulan demi memastikan kesemua kucingnya mendapat penjagaan dan rawatan terbaik. Berhabis RM6,000 sebulan untuk 30 kucing

“Saya ada 30 ekor kucing di Jakarta dan semuanya diambil dari jalanan. Saya yakin ketika kucing itu ada di rumah saya, itu adalah bahagian rezeki saya untuk mereka, saya tak pernah takut kehabisan wang kerana saya percaya pasti akan ada jalan.

“Kalau ditanya mengenai kos rawatan, mungkin dalam RM6,000 juga ditetapkan untuk keperluan kucing-kucing itu.

Ini termasuk makanan harian, pemeriksaan veterinar, rawatan kesihatan dan kelengkapan khas seperti generator oksigen dan mini klinik bagi kucing yang memerlukan penjagaan rapi,” katanya kepada HibGlam.

TERKENAL dengan sikap penyayang, Cakra memelihara 30 kucing yang dikutip di jalanan dan sentiasa memastikan kebajikan mereka terjaga termasuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik haiwan.

Ditanya sekiranya ada perancangan untuk membuka pusat perlindungan, Cakra menekankan banyak aspek yang harus dipertimbangkan sebelum melaksanakan perancangan sebegitu.

Membina pusat perlindungan bukan perkara mudah, banyak yang perlu dipertimbangkan termasuk penerimaan jiran-jiran, tidak semua orang sukakan haiwan.

“Jadi kita kena pilih tempat yang sesuai dan jangan pentingkan diri sendiri,” ujarnya.

Selain kasih terhadap haiwan, penyanyi berusia 33 tahun itu juga mempunyai satu lagi hobi iaitu berkebun. Aktiviti tersebut dilakukan di kampung halamannya di Pangandaran, Jawa Barat.

“Kalau tidak bersama kucing-kucing, saya akan menanam sayur di rumah. Aktiviti ini seperti satu bentuk ‘recharge’ untuk minda saya.

“Saya punyai kebun di kampung dan antara tanaman yang ada termasuk moringa, betik, bawang putih, cili dan bunga kantan,”ujarnya.

Konsert intim

Dalam perkembangan lain, Cakra akan hadir dengan konsert solonya berjudul Divine Concert sempena kelahiran album keduanya, Divine.

Selain di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen, Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 Ogos ini, konsert serupa terlebih dahulu singgah di The Star Theatre, Singapura pada 18 Julai depan.

CAKRA bakal hadir dengan persembahan solo diberi judul Divine Concert di Kuala Lumpur pada 2 Ogos ini.

Berkongsi kelainan konsert kali ini, Cakra mahu mencipta suasana lebih intim di samping menjanjikan pengalaman bermakna dengan peminat.

“Bagi konsert kali ini, saya berusaha mempersiapkan sesuatu yang lebih intim bersama peminat. Akan ada seksyen ‘string’ dan ‘brass’, tetapi tidak sebanyak tahun lalu.

Formasi kali ini juga lebih kecil, tetapi kami susun perjalanan konsert untuk dapatkan suasana lebih intim dan seronok. Dengan susunan begitu, saya bebas bergerak, termasuk turun menyapa peminat,” jelasnya.

Pada masa sama, pelantun lagu Kekasih Bayangan itu sangat memperhalusi aspek teknikal terutama dari segi bunyi bagi memastikan kepuasan setiap penonton yang hadir.

“Saya sangat cerewet dalam membuat persiapan konsert. Saya akan menitikberatkan mengenai bunyian di lokasi konsert kerana yang mendengar bukan penonton di depan sahaja.

Peminat yang di belakang juga mesti dapat mendengar dengan baik. Itu suatu perkara yang saya perlu siapkan.

“Saya juga mesti mempertimbangkan kesesuaian lagu dengan visual dan pencahayaan. Saya dan pasukan bersama Shiraz Projects sentiasa berkomunikasi secara intensif,” tuturnya.

Kerap bertanding ke Malaysia bagi menjayakan konsert, Cakra hanya meletakkan kepercayaan kepada pasukan promosi bagi pemasaran dan akan memberi fokus penuh buat persiapan persembahan kelak.

Tugas saya hanya fokus mempersiapkan acara. Berapa ramai atau siapa pun yang datang, tugas saya hanya memberikan 100 peratus. Jadi, saya tak pernah risau dengan perkara itu kerana dari dulu pun saya begitu.

“Saya saling percaya dan fokus memberikan yang terbaik dan apa pun persembahan perlu diteruskan,” ujarnya.

Tidak sendirian, konsert anjuran Shiraz Projects itu turut menampilkan penyanyi undangan seperti Marsha Milan, Ade Govinda, Titi DJ, Faizal Lubis dan Trio XL. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok