SEMAKIN terbuka, penyanyi dan pelakon Bella Astillah mengakui dirinya berada dalam fasa bahagia menjalin persahabatan erat dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Malah, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabella Astillah, 31, meluahkan rasa syukur dikurniakan kenalan yang mampu memberi ketenangan jiwa.
“Saya sangat bahagia mengenali Saddiq. Dia seorang lelaki ‘green flag’,” katanya menerusi audio siar bersama adiknya, Didi Astillah dan abang kepada Saddiq, Syed Abdullah.
Tambah pelantun Lebih Indah Berpisah itu, keperibadian Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abd. Rahman, 32, seolah-olah refleksi dirinya dalam bentuk seorang lelaki.
“Saya rasa bila saya jumpa YB Syed Saddiq dan tengok dia, saya seperti jumpa lelaki versi Bella Astillah,” luahnya.
Rata-rata netizen menzahirkan rasa gembira dan menyokong keakraban dua figura popular tersebut selain mendoakan mereka berakhir di jenjang pelamin.
Jodoh yang baik datang selepas badai. Semoga Bella dan Saddiq terus bahagia dunia akhirat,” komen seorang pengguna media sosial.
“Chemistry mereka luar biasa. Tak perlu lafaz cinta, cukup tengok senyuman masing-masing pun tahu sangat selesa antara satu sama lain,” tulis seorang peminat.
“Aura BASS ni memang padu! Tersengih peminat melihat keserasian mereka. Macam vitamin,” kata netizen.
Sebelum ini, pasangan berkenaan pernah mencuri tumpuan apabila muncul bersama dalam beberapa kempen jenama pakaian tempatan dan kolaborasi muzik video Tapi Bukan Denganmu, sekali gus mencetuskan fenomena digelar ‘BASS’ oleh peminat.
Fenomena dua dunia, seni dan politik itu bukan sahaja tular dalam kalangan rakyat tempatan, malah mencetuskan minat penggemar hiburan di Korea Selatan.
Lebih manis, kelibat Bella turut kelihatan menemani Saddiq dalam beberapa sesi perbicaraan mahkamah berkaitan pertuduhan jenayah amanah, sebelum ini.
Meskipun belum pernah mengesahkan status hubungan mereka secara terbuka, keluarga kedua-duanya sudah pun memberi restu andai benar ada jodoh antara mereka. – HIBGLAM