SAYA faham awak. Ya, nak hijrah mudah tapi istiqamah sangat mencabar.”
Demikian respons pelakon Shera Aiyob terhadap kenyataan aktres Kilafairy yang mengakui terdetik hati untuk kembali tidak bertudung, semalam.
Shera atau nama lengkapnya Nur Syahirah Aiyob, 39, menyatakan perasaan berbolak-balik seperti itu sememangnya akan wujud.
Namun, dia menitipkan pesanan agar Kila selalu mengingati Allah lebih-lebih sekiranya terdetik mahu melanggar arahan-Nya.
“Kita manusia biasa, hamba-Nya yang lemah. Iman kita bukan naik turun tapi sentiasa keluar dan masuk, memang normal untuk rasa begitu.
Tidak kira kita rasa ‘down’ atau sebelum kita memutuskan untuk buat sesuatu, selalu tanya semula diri kita, Allah SWT gembira tak kalau kita buat macam ini.
“Allah SWT suka tak kalau kita buat macam itu, tapi cakap memang senang. Ambil masa awak, sayang awak,” katanya dalam hantaran Threads.
Selain isteri kepada pelakon Zahiril Adzim, beberapa selebriti lain turut memberi sokongan padu buat pemilik nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 33, itu.
“Kila, ini ujian. Saya tahu awak kuat, awak tetap lawa tau berhijab,” ujar Nad Zainal.
Awak sangat disayangi ramai. Istiqamah bukan terus jadi baik tapi kalau awak buat salah, kembali kepada Allah,” tutur Betty Rahmad.
Sementara itu, ada yang menyeru nama selebriti versatil Neelofa untuk membantu pelakon terbabit ketika dia berperang dengan perasaan.
Neelofa, tolong Kila. Jangan bagi dia lalai balik,” ujar pengikut.
Semalam, anak kepada penyanyi Rohana Jalil itu memohon jasa baik ramai untuk mendoakan dirinya terus istiqamah bertudung selepas terdetik mahu kembali ‘free hair’.
Wanita yang masih solo itu mula mengenakan hijab sejak Jun 2020. – KOSMO! ONLINE