Tak batal, konsert Rockology hangatkan Johor esok

PEMINAT muzik rock tempatan boleh kembali teruja apabila Rockology Concert Tour 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 5 Julai ini di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor disahkan akan diteruskan seperti dirancang.

Pihak penganjur, RPM Events Sdn Bhd, menafikan sekeras-kerasnya khabar angin di media sosial yang mendakwa konsert tersebut dibatalkan, sebaliknya, segala persiapan kini berada di fasa akhir bersama pasukan teknikal dan keselamatan.

Konsert yang menyatukan dua nama besar dalam arena muzik rock tanah air Datuk Awie dan Search Kid Din dijangka menggegarkan selatan tanah air menerusi persembahan eksklusif yang membangkitkan nostalgia era rock 80-an dan 90-an.

Menurut Awie, para peminat pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai sendiri kehangatan malam penuh kenangan itu.

Ramai yang tak sabar nak rasai semangat rock dan kenangan era 80-an dan 90-an di Johor. Apa pun yang berlaku, kami tetap akan menghiburkan peminat di EduCity seperti yang dijanjikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah RPM Events, Datuk Eddy Amir Salim, menyifatkan Rockology sebagai satu gerakan memperkasakan semula semangat rock dalam industri hiburan tanah air.

Ini bukan sekadar konsert, tetapi usaha untuk menghidupkan semula jiwa rock Malaysia. Kami komited untuk memberikan pengalaman luar biasa, dan berterima kasih atas sokongan berterusan daripada semua pihak termasuk peminat dan penaja,” ujarnya.

Antara penaja utama yang menyokong konsert ini ialah ibis Styles Johor Iskandar Puteri (penginapan rasmi artis), Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) (penaja minuman rasmi), serta The J & Lesong (penaja makanan dan minuman rasmi).

Turut serta ialah EMS Services selaku penyedia servis perubatan lengkap dengan pasukan kesihatan dan ambulans, serta Perbadanan Awam Johor (PAJ) sebagai rakan promosi menerusi pengiklanan bergerak di Bas Muafakat Johor.

Sokongan daripada para penaja ini benar-benar membakar semangat kami untuk menganjurkan acara berimpak tinggi dan berkualiti kepada industri hiburan tempatan,” tambahnya.

Sebagai penghargaan kepada peminat, promosi istimewa ‘Beli 5, Percuma 1’ ditawarkan untuk pembelian tiket dalam satu transaksi, sah bagi semua kategori.

Pemegang tiket juga berpeluang memenangi ‘pendrive’ edisi khas mengandungi rakaman eksklusif sesi latihan bersama Datuk Awie dan Search Kid Din menerusi cabutan bertuah.

Konsert akan bermula pada pukul 8 malam dengan harga tiket bermula daripada RM98 hingga RM350, bergantung kepada kategori.

Tiket boleh didapati secara dalam talian menerusi pautan https://rpm.ubertickets.asia/johor atau ikuti laman sosial rasmi RPM Events untuk maklumat lanjut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok