SUTRADARA prolifik, Heykal Hanifah tampil membawa naskhah berat berjudul Sujudku yang menyentuh isu trauma, kebergantungan kepada Allah dan perjuangan wanita mukminah menghadapi liku hidup.
Lebih daripada sekadar kisah drama, Heykal, 51, Sujudku diangkat sebagai cerminan realiti sosial mengetengahkan pergelutan dalaman golongan beragama yang sering dianggap ‘kebal’ daripada ujian.
“Ramai anggap orang alim ini tidak diuji. Tapi realitinya, kita tak tahu apa yang bergolak dalam hidup atau jiwa mereka. Walau dekat dengan Tuhan, manusia tetap akan diuji.
“Saya mahu ketengahkan sisi manusiawi seorang hafizah. Bila penonton lihat sendiri apa yang mereka lalui, mereka akan lebih faham dan berhenti meletakkan stereotaip,” katanya kepada HibGlam.
Tambah suami kepada pelakon Faezah Elai itu, telefilem tersebut turut menyentuh isu sensitif seperti keganasan rumah tangga, penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental wanita, sesuatu yang sering dipendam tanpa suara.
“Naskhah ini dekat dengan wanita mukminah yang diuji dalam diam. Sujud bukan tanda kalah, tapi bentuk paling tinggi penyerahan dan penyembuhan jiwa.
“Kita mahu penonton lihat bahawa kekuatan tidak selalu datang dengan suara lantang. Kadang-kadang, ia hadir dalam bentuk air mata atas sejadah,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Kanan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar menyifatkan Sujudku sebagai karya sarat mesej, seiring misi stesen menyebarkan ilmu dan dakwah melalui seni.
“Sujudku dipilih sebagai antara tujuh naskhah terbaik tahun ini. Naskhah ini bukan sahaja memberi didikan agama, malah membawa penonton menyelami ketabahan jiwa dan kesucian doa seorang wanita,” katanya.
Sujudku dibintangi barisan pelakon hebat seperti Nad Zainal, Faezah Elai, Lisdawati, Raja Atiq Azman, Kodi Rasheed dan Firman.
Telefilem yang bakal ditayangkan 6 Julai nanti itu menggunakan pendekatan jujur dan realistik, membongkar kekuatan sebenar di sebalik sejadah. – HIBGLAM.