KOMPOSER dan penulis lirik Saari Amri, tampil membuat permohonan maaf kepada gitaris, JoBranko atas kenyataan tidak benar dan mengelirukan dalam satu sesi temu bual, baru-baru ini.
Permohonan maaf itu merujuk kepada kenyataan dibuat Saari di sebuah saluran YouTube yang bertajuk Sembang Pantai Timur – Saari Amri Pernah Kena Khianat Hilang Syarikat Rakaman pada 12 Jun 2025.
Dalam temu bual itu, Saari menyebut JoBranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir sebagai individu yang terlibat dalam isu pembelian premis atau studio rakaman, namun hal berkenaan adalah tidak benar.
“Saya secara khilaf menyebut nama JoBranko dalam temu bual tersebut, walhal beliau langsung tidak tahu-menahu dan tidak terlibat dalam isu yang saya ceritakan.
“Saya amat kesal dan mohon maaf secara terbuka kepada Jo serta semua pihak yang terkesan akibat kekhilafan saya itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut pemilik nama lengkap Saari Jusoh, 59, kenyataan yang dikeluarkan dilakukan secara tidak sengaja, tanpa niat untuk memfitnah atau mengaibkan mana-mana individu.
Beliau juga menjelaskan sejak mengalami kemalangan serius pada 1997, beliau kadangkala menghadapi kesukaran mengingati fakta yang tepat.
“Diakui selepas saya mengalami kemalangan, saya selalu terlepas cakap tanpa memikirkan kesahihan kata-kata saya.
“Saya amat menghargai keikhlasan JoBranko yang sudi menerima permohonan maaf saya dan memilih untuk menyelesaikan isu ini secara baik.
“Saya berharap kenyataan ini dapat menghentikan sebarang spekulasi serta menjaga nama baik beliau sebagai anak seni yang dihormati,” ujarnya.
Sementara itu, peguam mewakili JoBranko, Colin Victor George dari Tetuan Colin Victor & Co., menjelaskan pihaknya sudah membuat semakan terperinci dan mendapat pengesahan daripada pihak ketiga bahawa dakwaan dikaitkan dengan JoBranko tidak berasas.
“Kami telah meneliti rakaman temu bual dan mendapatkan bukti berkaitan daripada pihak ketiga. Hasil siasatan kami mendapati JoBranko tidak pernah terlibat dengan mana-mana urusan pembelian premis atau studio seperti yang dinyatakan.
“Selepas perbincangan, Saari mengakui kekhilafannya dan bersetuju untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, manakala JoBranko pula menerima permohonan maaf itu dengan hati terbuka,” katanya.
Pada masa sama, Colin turut memberi peringatan kepada orang awam, terutama pengguna media sosial agar lebih berwaspada dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berbaur fitnah.
“Kami sedang memantau kenyataan-kenyataan fitnah sudah berlegar di media sosial dan telah mengenal pasti beberapa individu yang membuat kenyataan atau komen mengaibkan JoBranko dan tindakan sewajarnya sudah diambil.
“Penyebaran fitnah bukan sahaja membawa implikasi undang-undang, malah mencemarkan nama baik individu yang tidak bersalah,” ujarnya. – HIBGLAM