DUNIA hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan berita pemergian pelakon berbakat besar, Lee Seo-yi yang disahkan meninggal dunia pada 20 Jun lalu pada usia 43 tahun.
Khabar duka itu baru dimaklumkan individu yang dipercayai pengurusnya menerusi satu hantaran rasmi dalam Instagram mendiang semalam, meskipun sudah lebih sepuluh hari meninggal dunia.
Seorang insan berseri, baik hati, cantik dan menyenangkan telah menjadi bintang di langit pada 20 Jun,” tulisnya.
Tambah pengurusnya, pihak pengurusan memohon semua pihak menghormati privasi keluarga serta menitipkan doa agar roh mendiang tenang di alam sana.
Kami tahu ramai yang terkejut dan bersedih dengan berita ini. Mohon doakan agar pemergiannya disambut di tempat yang indah,” ujarnya.
Pun begitu, baik punca kematian mahupun lokasi sebenar pengebumian mendiang tidak didedahkan kepada umum.
Seo-yi yang dilahirkan pada 18 April 1982, memulakan kerjaya lakonan menerusi drama sejarah MBC, Hur Jun, The Original Story pada tahun 2013.
Namanya meledak selepas membintangi drama popular Cheongdam-dong Scandal dan filem pecah panggung The King.
Dia turut membintangi Killing Romance dan drama terakhir lakonannya, The Divorce Insurance yang tamat tayangan pada Mei lalu.
Dalam masa sama, aktress jelita itu juga dikenali sebagai pelakon yang memiliki latar akademik cemerlang apabila merupakan graduan jurusan Pengajian Czech dan Slovakia dari Hankuk University of Foreign Studies, sebelum menyambung pengajian peringkat sarjana di Pusan National University.
Berita pemergiannya nyata menyentap emosi peminat serta rakan artis yang menzahirkan rasa kehilangan besar buat industri hiburan Korea. – HIBGLAM